KUALA LUMPUR – Peningkatan harga minyak sawit di pasaran melonjak bukan sahaja melegakan puluhan ribu pekebun kecil tetapi turut menguntungkan penggiat industri komoditi ini di Malaysia yang telah terkesan sejak beberapa bulan yang lepas.
Kenaikan harga ini berikutan daripada hubungan diplomatik Malaysia-India semakin baik di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional yang mengambil alih tampuk pimpinan sejak Mac lalu.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MOPB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah RM2,300 hingga RM2,400 satu tan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Saya berharap harga sawit ini akan terus melambung tinggi supaya hasil yang lebih ini dapat dimanfaatkan terutama kepada pekebun-pekebun sawit di Malaysia bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya.
Perkembangan ini pastinya amat menggembirakan MPOB dan pihak kerajaan kerana komoditi sawit menyumbang sebanyak 4.76% atau RM64.84 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Berikutan itu, pekebun-pekebun dan penggiat industri boleh menarik nafas lega dan MPOB berharap harga komoditi ini terus stabil dan meningkat kepada momentum yang lebih memberangsangkan.
”Terima kasih kepada Kerajaan India yang tidak melanjutkan sekatan import terhadapminyak sawit ditapis yang membantu meningkatkan eksport Malaysia ke negara berkenaan.
”Jika sebelum ini, harga minyak sawit terendah pernah dicatatkan adalah sebanyak RM1,794.50 satu tan pada Disember 2018 dan RM1,879.00 satu tan pada Julai 2019 bagi tempoh 2016-2019,” katanya. – MalaysiaGazette