Home Nasional Kontraktor pembinaan disaran laksana inisiatif pengasingan pekarja

Kontraktor pembinaan disaran laksana inisiatif pengasingan pekarja

Gambar Hiasan. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mencadangkan supaya kontraktor yang dibenarkan meneruskan kerja-kerja pembinaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya melaksana inisiatif pengasingan pekerja.

Ia bagi mengelak risiko yang lebih buruk termasuk penutupan kerja-kerja di tapak projek binaan.

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, kontraktor yang terlibat disaran menempatkan sebahagian pekerja mereka di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) yang disediakan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk Projek Mass Rapit Transit (MRT) supaya mereka tidak perlu bersesak menghuni di satu kediaman saja.

“CLQ CIDB ini bukan saja memiliki kemudahan dan fasiliti yang lengkap seperti kantin, kedai dan asrama, malah ia memudahkan kawalan pergerakan pekerja untuk tujuan saringan kesihatan jika ada dikalangan mereka dikesan memiliki gejala Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cdaangan tersebut disarankan berikutan terdapat jangkitan Covid-19 terhadap pekerja asing di beberapa tapak binaan di ibu negara baru-baru ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster dikesan melibatkan kumpulan pekerja asing dengan jangkitan virus itu ke atas 88 orang pekerja pembinaan.

Berdasarkan kajian awal Kementerian Kesihatan Malaysia, mendapati faktor utama penularan jangkitan yang cepat disebabkan sebahagian besar pekerja asing itu tinggal beramai-ramai dan bersesak-sesak di dalam satu kediaman atau penempatan yang dihuni mereka.

Azman berkata, kos penginapan sementara itu mesti ditanggung kontraktor dan CIDB boleh mengenakan caj yang minimum kepada mereka.

Pada masa sama, jelas Azman, kerajaan boleh memperbanyakkan lagi pembinaan penempatan seperti itu untuk keselamatan pakerja pada masa akan datang.

Memandangkan tempat yang terhad di CLQ, katanya, kontraktor juga boleh menyewa pusat latihan yang menyediakan kemudahan asrama serta fasiliti lengkap kepada pekerja untuk tempoh tententu sepanjang PKPB.

Sementara itu, Azman berkata, di tapak pembinaan pula boleh dilaksana penempatan menerusi sistem zoning cabin type yang akan memudahkan pemantauan.

Penempatan ini mesti dihadkan hanya untuk enam orang pekerja saja, tambahnya.

Semua kontraktor yang terbabit juga dinasihatkan meneruskan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan diri yang ketat kepada semua pekerja asing dengan melakukan ujian saringan Covid-19, pemeriksaan suhu badan serta penggunaan litup muka dan menggunakan cecair nyah kuman. – MalaysiaGazette