Home Seni Hidup Pelantikan Awang Sariyan bagai Sirih Pulang Ke Gagang

Pelantikan Awang Sariyan bagai Sirih Pulang Ke Gagang

Prof Dr. Awang Sariyan

KUALA LUMPUR – Bagai sirih pulang ke gagang, begitulah reaksi persatuan kesusasteraan tanah air mengenai pelantikan tokoh bahasa dan persuratan Datuk Dr Awang Sariyan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Presiden Persatuan Penyair Malaysia, Datuk Dr Rahman Shaari berkata, melalui pengalaman, kepakaran dan ketokohannya, Awang berkemampuan memperkasa dan merekayasa kembali citra bahasa dan sastera negara ke mercu peradaban dunia.

“Sosok ini cukup dikenali sebagai pejuang cekal dan tekal dalam memperjuangkan isu-isu kebahasaan. Dekad-dekad belakangan ini menuntut kemampuan dan gelombang pemikiran kepemimpinan yang dinamis dalam menerajui perubahan negara.

“Semoga DBP di bawah teraju beliau akan terus merimbuni kepengarangan insaniah,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad juga yakin bahawa pelantikan Awang akan membawa DBP bergerak lebih dinamis dan berani dalam memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan.

“Kami yakin dan berharap, dengan pengalaman, kepakaran dan kefahamannya, Dr Awang dapat menerajui tenaga kerja DBP secara berkesan. Banyak perubahan perlu dilakukan dalam era digital sekarang.

“Bagaimanapun, modal insanlah yang paling utama untuk dibina agar mereka berupaya melaksanakan amanah selari dengan perkembangan semasa dan mampu menjangkau masa depan,” katanya dalam laman Facebook (FB) miliknya.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam kenyataan di laman FB berharap Awang dapat melonjakkan lagi usaha pemartabatan bahasa, sastera dan penerbitan di negara ini, sekali gus mengangkat gedung ilmu itu sebagai benteng tamadun negara dan bangsa.

Pelantikan Awang bagi menggantikan Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom, berkuat kuasa 22 Mei lepas untuk tempoh tiga tahun.

Beliau yang juga Penyandang Kursi Za’ba Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris pernah menjadi Ketua Pengarah DBP pada 2012 hingga 2016.- BERNAMA