PETALING JAYA – Sekumpulan 22 warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mempromosi perjudian dalam talian di dalam sebuah premis di Ara Damansara pada 9 Mei lalu.
Pengakuan dibacakan secara berasingan iaitu di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham dan Zhafran Rahim Hamzah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, tengahari ini.
Kesemua tertuduh berusia antara 23 hingga 31 tahun di mana 20 daripada mereka adalah lelaki dan dua pula adalah wanita.
Bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Nor Ariffin, kesemua 10 lelaki tertuduh didapati telah mempromosi perjudian dalam talian melalui laman sesawang di sebuah premis di Ara Damansara, di sini pada 9 Mei 2020, jam 12.30 tengahari.
Mengikut pertuduhan, 10 warga China ini telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 [1] [g] Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 [1] Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu boleh dihukum tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih 3 tahun.
Selain itu mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak berkaitan RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.
Bagi pertuduhan itu, pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Selangor, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim
Terdahulu kesemua 10 tertuduh ditawarkan ikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia bagi pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun peguam Nur Aminahtul Marrdiah Md Nor memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana wang jaminan bukan untuk menghukum sebaliknya memastikan tertuduh hadir pada perbicaraan kes.
Majistret bagaimanapun tidak mengurangkan jumlah jaminan dan mengarahkan tertuduh membayar RM8,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.
Majistret juga mengenakan syarat tambahan iaitu kesemua 10 tertuduh perlu menyerahkan passport perjalanan dan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes tersebut selesai.
Majistret juga menetapkan 13 Julai ini sebagai tarikh sebutan kes berkenaan.
Sementara itu bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zhafran pula, kesemua 12 tertuduh termasuk dua wanita didapati telah mempromosi perjudian dalam talian melalui laman sesawang di sebuah premis berasingan di Ara Damansara, di sini pada 9 Mei 2020, jam 12 tengahari.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 [1] [g] Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 [1] Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu boleh dihukum tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih tiga tahun.
Mereka juga boleh dikenakan hukuman denda tidak berkaitan RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.
Bagi pertuduhan berasingan itu, pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Selangor, Siti Zubaidah Mahar.
Terdahulu kesemua 12 tertuduh ditawarkan ikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia bagi pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun peguam Lim Chee Chong memohon jumlah jaminan dikurangkan.
Majistret bagaimanapun mengarahkan kesemua tertuduh membayar RM3,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.
Majistret juga mengenakan syarat tambahan iaitu kesemua 12 tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes tersebut selesai.
Majistret Zhafran juga menetapkan 9 Julai ini sebagai tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen bagi berkenaan
Sebelum ini, seramai 22 individu warga China yang dipercayai terlibat dengan sindiket judi dalam talian diberkas di sebuah premis di Ara Damansara, Petaling Jaya, 9 Mei lalu.
Siasatan awal mendapati mereka menerima upah RM3,000 sebulan dengan menyasarkan mangsa dari China.
Sindiket itu baharu beroperasi selama dua bulan dengan waktu kerja mereka adalah 24 jam dan dibahagi kepada dua syif.
Dalam serbuan itu, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya merampas dua komputer dan 85 telefon bimbit. – MalaysiaGazette
Di situlah bezanya kita dengan orang asing. Rakyat Malaysia secara umumnya jarang mau melanggar peraturan sewaktu berada jauh dari tanahair. Sesekali ada juga terlibat dalam kes-kes dadah dan sebagainya. Tapi itu mungkin orang jahat yang mesti ada di mana-mana negara. Tanggapan umum masyarakat dunia terhadap orang Malaysia adalah baik, baik saja. Kelakuan kita biasanya berdasarkan pepatah yang mengatakan” Bumi mana dipijak, Langit dijunjung”. Orang Malaysia diperantauan selalu menghormati undang-undang setempat di sana. Sewaktu mengikuti acara resmi di negara lain, kita juga berdiri menghormati lagu kemerdekaan di negara tersebut. Perjudian haram yang dikendalikan oleh warga asing di negara kita harus diberi perhatian yang serius. Negara kita adalah undang-undang dan kedaulatannya tersendiri. Pihak polis dan imigresen perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada kegiatan mencuri, memproses dadah, mencatek wang palsu, pelacuran, perjudian, jenayah siber, sindiket pemalsuan kad pengenalan dan paspot dan sebagainya yang dilakukan oleh warga asing di negara kita. Pegawai yang berkhidmat di jabatan dan pejabat kerajaan jangan sama-sekali bersekongkong dengan warga asing untuk mencari duit yang lebih. Perbuatan tersebut adalah tidak lain dari suatu jenayah dan mengkhianatan terhadap rakyat dan negara. May God save Malaysia and its people, ameen!