KUALA LUMPUR – Seorang bapa di Kelantan terkejut menerima hadiah harijadi daripada anak-anaknya menitiskan air mata kegembiraan.
Mohd Zain Ahmad, 71, menerima sebuah kereta Perodua Axia baharu bagi menggantikan kereta lamanya yang sering mengalami kerosakan.
Menurut salah seorang anaknya, Shahril Azman, tarikh ulang tahun beliau pada 1 Mei lalu dan hadiah berkenaan hanya dapat diberikan anak-anaknya hari ini memandangkan kelewatan yang berlaku akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sebelum itu, menurutnya, ayahnya yang berasal dari Kampung Chempaka, Kota Bharu tidak penah mengeluh depan anak-anaknya walaupun kereta lamanya kerap mengalami kerosakan sehingga terpaksa menggunakan motosikal untuk keluar ke surau, masjid dan jika ada urusan di bandar.
“Kami anak-anak bercadang memberikan hadiah pada tarikh 1 Mei lalu namun disebabkan PKPB, Perodua Axia yang ditempah awal terlewat dari tarikh ulang tahun ayah kami,” katanya sambil menambah ia juga boleh dianggap hadiah sempena Hari Raya Aidilfitri.
Oleh kerana PKPB juga Shahril dan adiknya Amirul Hakim tidak dapat melihat ‘kegembiraan’ bapanya kerana mereka berdua berada di Kuala Lumpur dan tidak boleh balik ke Kelantan.
Bagaimanapun adik beradik mereka yang lain iaitu Nailie dan Aizat yang berada di Kelantan merakamkan detik ‘kegembiraan’ ayah mereka untuk dikongsi bersama mereka.
Baginya, tidak ada hadiah yang setimpal dapat diberikan kepada ayah mereka tetapi berharap kereta baharu itu sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada Mohd. Zain.
“Selepas ini ayah dan emak bolehlah jalan jauh sikit naik kereta baharu,” ujarnya.- MalaysiaGazette