Home Seni Hidup Dari ICU ke Liang Lahad raih lebih 1 juta view

Dari ICU ke Liang Lahad raih lebih 1 juta view

Laporan khas Dari ICU ke Liang Lahad berjaya meraih lebih satu juta view di Facebook dan Instagram

KUALA LUMPUR- Mini dokumentari Dari ICU ke Liang Lahad terbitan MalaysiaGazette yang menampilkan tulang belakang pengurusan Covid-19 di negara ini berjaya meraih satu juta view di Facebook dan Instagram.

Mini dokumentari yang disiarkan malam Selasa lalu adalah susulan kejayaan laporan terdahulu bertajuk Kita Mesti Menang yang turut merekodkan lebih 1 juta view dalam tempoh kurang 24 jam.

Jika selama ini banyak kisah barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan keselamatan yang berdepan dengan orang ramai sahaja, MalaysiaGazette mengambil langkah berbeza dengan memfokuskan kepada wira-wira negara yang tidak berhadapan dengan orang ramai secara langsung tetapi tetap memberi sumbangan yang sangat besar dalam menguruskan Covid-19.

Ini merangkumi petugas makmal molekular Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menjalankan ujian makmal terhadap sampel-sampel suspek pesakit Covid-19.

Tidak ramai yang mengetahui betapa rumitnya proses untuk mendapatkan keputusan saringan sampel Covid-19 sebelum ini.

Turut diberi tumpuan adalah wad rawatan rapi (ICU) Covid-19 yang mana merupakan wad terpenting dalam memastikan usaha menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 dapat dilakukan.

Malah MalaysiaGazette juga berjaya membuat liputan di Jabatan Forensik HKL bagi mendapatkan gambaran sebenar bagaimana mayat pesakit Covid-19 diuruskan sejurus selepas menghembuskan nafas terakhir sehinggalah diserahkan kepada pihak pengurusan mayat untuk disemadikan.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut membantu dalam memberi penerangan bagaimana jenazah pesakit Covid-19 ditayyammum dan dikebumikan.

Terima kasih kepada anda semua terutamanya pelayar-pelayar MalaysiaGazette di atas sokongan yang diberikan kepada kami! – MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

🎥Dari ICU ke Liang Lahad