ISLAMABAD – Pasukan menyiasat nahas udara telah mula memindahkan serpihan pesawat Pakistan International Airlines (PIA) yang terhempas pada 22 Mei lalu di Karachi.
Nahas itu telah mengorbankan 97 orang.
Pencarian perakam suara di kokpit masih lagi dipergiatkan.
“Lembaga Penyiasatan Kemalangan Pesawat telah mengambil alih lokasi nahas dan siasatan,” kata Abdullah Khan, jurucakap Pakistan International Airlines (PIA), syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan PK-8303.
Pesawat PK-8303 dari timur Lahore merempuh kawasan Model Colony ketika menghampiri lapangan terbang antarabangsa Karachi pada hari Jumaat lalu.
Hanya dua orang penumpang sahaja yang terselamat.
Manakala empat individu cedera akibat rempuhan pesawat yang terhempas di kawasan perumahan Model Colony.
Khan berkata, penyiasat telah menemui perakam data penerbangan digital pesawat itu, tetapi terus mencari perakam suara kokpit, yang akan memberikan gambaran penting mengenai apa yang terjadi di dalam kokpit pada minit terakhir penerbangan.
“Mereka telah memperluas lingkaran pencarian, kerana kemungkinan ekor pesawat mendarat terlebih dahulu yang menyebabkan perakam suara kokpit terlempar jauh,” katanya.
Pada hari Selasa lalu, pasukan 11 anggota dari syarikat pengeluar pesawat komersial Airbus, yang mengeluarkan pesawat A320 itu, tiba di Pakistan untuk membantu siasatan.
Laporan awal menunjukkan penerbangan malang itu cuba mendarat sebelum ia berpusing-pusing akibat kegagalan enjin.
Ia terhempas beberapa kilometer sahaja dari landasan. – MalaysiaGazette