Home Utama Bersatu berduka dengan tindakan Tun M

Bersatu berduka dengan tindakan Tun M

Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. foto SYAFIQ AMBAK, 30 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini berduka dengan langkah menongkah arus yang diambil bekas pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat yang lain.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka terasa kehilangan Mahathir yang menjadi pengasas kepada parti itu.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, Bersatu mengucapkan selamat maju jaya kepada Mahathir dan para pengikutnya.

“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti sepertimana yang telah diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Tun bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan Tun, saya ucapkan selamat maju jaya.

“Kita berdoa kepada Allah untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala tawfik dan hidayah-Nya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam memberitahu Mahathir dan empat lagi ahli parlimen Bersatu tidak dipecat sebaliknya keahlian mereka terlucut dengan sendiri kerana melanggar perlembagaan parti.

Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi semalam membuat kejutan apabila hadir ke ibu pejabat parti itu di Yayasan Selangor untuk mendapatkan surat pemecatan beliau sebagai ahli Bersatu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata tindakan untuk menggugurkan Mahathir dan empat lagi tidak dibuat terburu-buru.

Jelasnya, biarpun banyak pihak yang mendesak agar beliau mengambil tindakan terhadap kelima-lima bekas pemimpin Bersatu itu, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak dilakukan beliau.

“Mereka tidak dipecat daripada parti. Sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti dengan serta-merta.

“Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal.

“Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti. Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti,” katanya.

Muhyiddin turut menasihatkan ahli akar umbi agar kekal tenang dengan perkembangan terbaharu parti itu.

“Saya berharap ahli-ahli Bersatu dapat bersabar dan bertenang dalam menghadapi situasi terlucutnya keahlian lima orang bekas ahli Bersatu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik,” katanya lagi.

Pada Khamis, parti itu menggugurkan keahlian Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Mengikut surat yang diterima mereka, keahlian mereka terhenti serta merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu. – MalaysiaGazette

6 Komen

  1. Alhamdulilah.Semoga Allah lindungi Malaysia tanah air Ku Dan membimbing pimpinan TSMY.

  2. Medey anak beranak dgn Mazlee + Sadiq yg perasan bagus tu boleh lah isi borang DAP plak…sure Guang Eng Terowong suka..tak pun pi join Lid Samad PAN..nak masuk PKR sure tak boleh ada calon PM ikat tepi paling bebal dlm tu..haaa

Comments are closed.