PUTRAJAYA – Atas kertas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengawal kenaikan kes kematian ekoran jangkitan Covid-19.
Ia dikuatkan lagi dengan tiada kes kematian direkodkan selama lapan hari sejak 22 Mei lalu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya mempunyai keupayaan yang tinggi dalam mengesan penularan wabak itu selain program kesihatan yang mantap dalam memastikan kesihatan pesakit Covid-19 dijaga rapi.
“Kapasiti untuk kita mengesan Covid-19 itu amat tinggi dan keupayaan tindakan kesihatan awam. Jadi kalau kesihatan awam kita dapat melaksanakan aktiviti pencegahan dan pengesanan yang baik dan juga kita dapat mengesan jadi kalau kita lihat di hospital pun sudah kurang penggunaan katil iaitu katil Covid-19 yang kita ada penggunaan kurang daripada 15 peratus.
“Kita lihat pada ICU penggunaan ada satu masa dahulu 100 lebih pesakit, sekarang hanya 9 pesakit. Dan mereka yang memerlukan bantuan pernafasan hanya dua kes setakat hari ini.
“Kita ada mesin bantuan pernafasan 1,090 yang kita siap siaga untuk kita guna tetapi sebab tidnakan kesihatan awam kita mantap dan kita telah pertingkatkan keupayaan mereka untuk mengesan dan juga melakukan ujian dan kita dapat mengawal dan cegah Covid-19,” katanya dalam sidang media hari ini.
Noor Hisham berkata, KKM kini mempunyai kapasiti peralatan yang tinggi di makmal-makmal dalam mengesan wabak Covid-19.
Ujarnya, kapasiti makmal sudah mencapai 30,000 bagi melaksanakan ujian Real Time Polymerase Chain Reaction.
“Kita juga ada kemampuan menggunakan Rapid Test Kit RTC antigen 200,000 dan sekarang kita guna kurang daripada 5,000,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, bersandarkan kepada realiti jumlah kes semasa, pihaknya percaya akan dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 tidak lama lagi.
“Ini menunjukkan trend pemulihan kita sekarang bukan hanya di hospital tetapi di program kesihatan awam. Ujian yang kita laksanakan dalam 30 ujiannya hampir 95 peratus adalah negatif.
“Yang positif tidak ramai jadi kalau begitu kita nampak tengah dapat mungkin boleh memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, mungkin makan masa sedikit lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette