Home Seni Hidup Pantau taman perumahan langkah awal cegah tanah runtuh

Pantau taman perumahan langkah awal cegah tanah runtuh

Anggota bomba melakukan pemeriksaan keadaan tanah struktur tanah di kawasan tanah runtuh yang melibatkan 7 buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Kejadian tanah runtuh ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ibarat mimpi buruk kerana berlaku pada waktu yang sukar.

Namun begitulah yang berlaku ke atas kira-kira 40 penghuni tujuh buah rumah yang diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing ekoran kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay dekat sini awal pagi ini.

Mengambil apa yang berlaku, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Muhammad Azber Mohammad Safdar menasihati orang ramai supaya peka dengan sebarang perubahan di kawasan taman masing-masing bagi mengelakkan berlaku kejadian tanah runtuh.

Menurutnya, tanda-tanda sebelum runtuh kebiasaannya sudah ada dan penduduk perlu peka dengan melaporkannya kepada pihak berkenaan.

Muhammad Azber Mohammad Safdar.

Katanya, kawasan sekitar perlu dipantau dan sebaik-baik pemantau ialah penduduk sendiri dan mereka perlu membuat rondaan bagi mengesai sebarang perbezaan keadaan persekitaran seperti perubahan aliran air hujan.

“Air longkang akan berkeruh kerana campuran tanah akibat kesan hakisan, rekahan rumah, rekahan jalan raya dan lain-lain. Kaki cerun bertakung dengan air, aliran air tak cantik dan lain-lain tanda sebelum berlakunya tanah runtuh.

“Jika ada tanda sedemikian, penduduk perlu menghubungi segera pihak berkuasa tempatan.

“Kesedaran awal boleh menyelamatkan nyawa kerana alam akan tunjuk tanda jika sesuatu tidak kena pada tempatnya,” katanya.

Tambahnya, selain itu penghuni sekitar perlu bersiap sedia awal seperti menyediakan beg kecemasan di mana segala kelengkapan seperti baju, dokumen penting boleh dibawa bersama pada bila-bila masa.

“Apabila ada arahan mengosongkan premis, penduduk dan orang ramai tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan berkenaan dan semua orang harus patuh arahan pihak berkuasa.

“Tetapi jika beg kecemasan sudah tersedia tiada apa keperluan untuk masuk ke kawasan itu semula dan boleh meminta kerjasama jiran berhampiran untuk melihat perkembangan sepanjang ketiadaan kita,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tanah runtuh Bukit Antarabangsa, 40 penghuni diarah kosongkan rumah