KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 Kedai Tenaga di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan akan beroperasi semula esok
bagi memudahkan pengguna mendapat maklumat secara bersemuka mengenai pelarasan bil elektrik mereka.
Pengguna di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur akan mula mendapat bil bacaan sebenar mulai esok berikutan pelaksanaan semula pembacaan meter yang dihenti sementara
sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
Menurut kenyataan Tenaga Nasional Bhd. (TNB), seramai 3.5 juta pelanggan syarikat utiliti itu di dua negeri ini dan Kuala Lumpur akan menerima bil bacaan sebenar mereka bermula esok serta mendapat pelarasan kepada bil anggaran yang diberikan TNB sejak Mac lalu.
“Secara amnya, pengguna boleh menjangkakan bacaan bil sebenar mereka akan lebih tinggi dari bil anggaran kerana bil anggaran adalah berdasarkan penggunaan pada bulan Februari
yang lebih rendah berbanding semasa tempoh PKP.
“Sepanjang PKP, penggunaan elektrik di kediaman meningkat antara 20 hingga 50 peratus kerana semua penghuni kediaman berkurung bagi mematuhi PKP dan majoriti pekerja pula bekerja dari rumah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pembukaan Kedai Tenaga mulai esok akan menjadikan jumlah keseluruhan 119 Kedai Tenaga dibuka
semula selepas ditutup sementara susulan PKP.
Tambahnya, sebanyak 26 lagi Kios Pembayaran Layan Diri TNB turut beroperasi semula, lantas meningkatkan jumlah kios pembayaran layan diri yang kembali beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia kepada 83 buah.
Operasi semula Kedai Tenaga dari 9 pagi hingga 4 petang (kecuali hujung minggu), kios TNB antara 8 pagi hingga 8 malam dan bacaan meter ini berikutan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur kini berada dalam kategori zon hijau dan kuning penularan wabak Covid 19, katanya.
Selain Kedai Tenaga, pelanggan TNB juga boleh mendapat penjelasan mengenai pelarasan bil mereka di talian TNB CareLine 1-300-88-5454.
Antara transaksi lain yang boleh dibuat di Kedai Tenaga adalah pembayaran bil elektrik, pertanyaan bil, permohonan baharu untuk bekalan elektrik, penukaran nama penyewa (change
of tenancy) dan penutupan akaun.
Sementara itu, operasi enam Kedai Tenaga di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh Semenanjung akan hanya bermula pada 9 Jun ini. – MalahysiaGazette