PANDEMIK Covid-19 yang melanda global ketika ini telah mencetuskan krisis kesihatan mental dalam kalangan populasi manusia di seluruh dunia. Langkah-langkah yang telah diambil bagi membendung virus Covid 19 seperti kuaratin, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, penutupan perniagaan dan sekolah telah memberi sedikit sebanyak kesan kepada aktiviti rutin atau kehidupan seharian. Tentunya tahap kesunyian, kemurungan, penggunaan alkohol serta perilaku membahayakan diri juga dijangka meningkat semasa dan pasca Covid 19. Individu yang berisiko adalah mereka yang mempunyai kemurungan, penyakit fizikal yang kronik, mengambil alkohol, tiada sokongan sosial serta tekanan hidup yang berlarutan berpotensi mengalami masalah kesihatan mental.
Isu kesihatan mental di Malaysia bukan perkara baru malah hasil kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental. Jika dahulu kita anggap perkara ini serius maka sekarang ia lebih parah dari serius. Masalah kesihatan mental di Malaysia ketika ini boleh disifatkan sebagai membimbangkan kerana terdapat peningkatan kes tekanan, keresahan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
Pada 18 Mei 2020, Ketua Pengarah Kesihatan telah melaporkan bahawa sebanyak 46.8% daripada jumlah panggilan telefon yang diterima oleh pihaknya mengalami masalah kesihatan mental. Beliau turut melaporkan bahawa kebimbangan berkenaan wabak Covid-19 turut menyumbang sebanyak 20%. Langkah-langkah kesihatan awam yang telah diambil membuat ramai orang mengalami situasi seperti kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji dan sebagainya menjadi punca berlaku perkara ini. Selain itu, perasaan kebimbangan semakin kerap berlaku, kerana orang bimbang, risau dan takut akan diri sendiri atau orang tersayang jatuh sakit.
Tips bagi yang terlibat dalam pengasingan
Seseorang itu perlu mengelakkan daripada membaca berita palsu dan info kesan negatif wabak, tetapi perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa berhubung dengan rakan atau ahli keluarga melalui media sosial serta sentiasa berfikiran positif bagi mengelakkan diri mengalami kerisauan dan kegelisahan. Dapatkan maklumat terkini di waktu tertentu pada waktu siang, sekali atau dua kali sehari. Aliran laporan berita secara tiba-tiba dan hampir berterusan mengenai wabak boleh menyebabkan sesiapa sahaja merasa bimbang dan pastikan mendapatkan fakta; bukan khabar angin dan maklumat yang salah.
Sekiranya kegelisahan wabak Covid-19 muncul, cubalah berkongsi rasa takut dengan orang lain yang akan menenangkan rasa takut anda, dan juga cuba mendapatkan tidur yang cukup, bersenam secara teratur dan menggunakan teknik “relaxation” yang berbeza. Kita dapat mengatasi cabaran kesihatan mental dengan mengambil pelbagai langkah yang berkaitan dengan gaya hidup sihat seperti mengikuti kursus pembelajaran online, yoga, membaca buku, mendengar muzik, memasak (boleh post di group FB masak apa tak jadi hari ini) dan melakukan aktiviti kreatif. Di era teknologi ini, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sokongan psikologi serta termasuk Pertolongan Psikologi atau Psychological First Aid (PFA) telah pun diperkenalkan oleh kerajaan melalui talian kasih dan Befrienders. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah kaunselor yang dapat berhidmat melalui atas talian sebagai inisiatif meningkatkan kualiti kesihatan mental rakyat.
Tips penjagaan kanak-kanak
Ketika ini segala medium pengajaran dan penbelajaran berlaku secara atas talian mendorong pelajar sekolah menggunakan telefon tempoh yang lama. Seharusnya ibu bapa/ penjaga mengawasi atau mengehadkan tempoh penggunaan telefon dan media sosial anak, kerana ini dapat mengelakkan mereka untuk mendapat terlebih pendedahan atau memperoleh maklumat yang tidak tepat hingga mencetuskan kebimbangan serta kemurungan. Ini termasuklah kes yang melibatkan buli secara atas talian (cyberbully) di media sosial yang kian berleluasa. Bantu anak-anak mencari cara positif untuk meluahkan perasaan seperti ketakutan dan kesedihan. Setiap kanak-kanak mempunyai atau cara sendiri untuk meluahkan emosi. Kadang-kadang terlibat dalam aktiviti kreatif, seperti bermain, bernyanyi dan sebagainya dapat memudahkan proses ini. Kanak-kanak berasa lega jika dapat meluahkan dan berkomunikasi perasaan mereka dalam persekitaran yang selamat dan menyokong. Ketika mengalami tekanan, adalah perkara biasa bagi anak-anak untuk mencari lebih banyak ikatan dan lebih meminta sesuatu pada ibu bapa. Sekiranya anak-anak anda mempunyai masalah, menangani mereka bersama-sama supaya dapat meredakan kegelisahan mereka.
Masalah kesihatan mental terutamanya kebimbangan dan tekanan dapat dielakkan jika kita mengamalkan rutin atau gaya hidup sihat, mengkukuhkan hubungan sosial serta menjauhi berita-berita palsu. Semua harus memainkan peranan penting dalam membendung isu kesihatan mental ini dimana kerjasama rapat pelbagai pihak dapat menemui penyudah yang positif. Ini bukan hanya tugas seorang doktor/kaunselor tetapi peranan komuniti dan diri sendiri bagi membendung isu kesihatan mental.
Ayuh bertindak mulai sekarang.
Oleh: Shatesh Kumar Sangar
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Kesihatan, Parlimen Belia Malaysia