Home Seni Hidup Dialog dalam Upin Ipin cetus kontroversi

Dialog dalam Upin Ipin cetus kontroversi

Siri animasi popular kanak-kanak ini sudah memasuki musim ke-14 di Indonesia.

KUALA LUMPUR – Gara-gara dialog diucapkan oleh salah satu watak animasi popular Upin-Ipin, Fizi telah mencetuskan kontroversi peminat kartun itu di Indonesia.

Dialog berbunyi ‘kalau tak ada ibu, tak adalah syurga’ itu telah disiarkan dalam episod terbaru animasi Upin dan Ipin berjudul Syahdunya Syawal.

Babak tersebut telah menjadi tular di laman sosial Instagram dan Twitter dan rata-rata yang terkesan dengan keterlanjuran kata-kata Fizi itu.

Menerusi ruangan komen, peminat Indonesia membenci Fizi dan menuntut watak tersebut supaya memohon maaf!

Fizi merupakan rakan kepada Upin dan Ipin iaitu adik-beradik anak yatim piatu yang kehilangan ibu dan bapanya ketika masih kecil serta hidup menumpang kasih bersama nenek mereka, Opah.

Upin dan Ipin mempunyai seorang kakak bernama Ros yang sangat sayangkan mereka walaupun suka menyakat adik kembarnya itu.

Dalam adegan yang tular itu, Upin dan Ipin bersama rakan-rakan mereka iaitu Fizi dan Mail sedang berbual mengenai berhari raya bersama ibu dan bapa masing-masing di beranda.

Namun, Fizi secara tidak sengaja terlanjur kata dan menyebabkan Upin dan Ipin berasa sedih sehingga penonton turut beremosi sehingga terbawa-bawa sehingga ke laman sosial.

Sementara itu, siri animasi popular kanak-kanak ini sudah memasuki musim ke-14 di Indonesia, manakala tayangannya di dalam negara menerusi Astro Ceria baru menjengah musim ke-13. – MalaysiaGazette