Home Nasional Ibu tinggal tertindas, kerajaan digesa semak syarat BPN

Ibu tinggal tertindas, kerajaan digesa semak syarat BPN

Orang ramai hadir pada hari terakhir permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2020

KLANG – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa menyemak semula syarat permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dalam memastikan ia tidak menindas golongan wanita khususnya yang berstatus ibu tinggal.

Tinjauan MalaysiaGazette di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Klang mendapati ada dakwaan ibu tinggal dipinggirkan daripada mendapat bantuan kerajaan itu.

Menurut Zaitun Abdul Hamid, 55, dari Tanjong Karang, dia kesal apabila syarat pemohon BPN tidak sama dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) di mana hanya isteri pertama sahaja yang layak menerima bantuan tersebut.

Pemohon, Zaitun Abdul Hamid bercakap kepada lensa Malaysia Gazette pada hari terakhir permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2020

“Ya memang tak adil, kalau ikut BSH penerima mestilah isteri pertama, sebab dia ada tanggungan, suami tiada tanggungan, dia memang untuk isteri sahaja.

“Tapi syarat BPN tak ikut sama BSH, dia buat sistem lain, jadi kebanyakan orang macam saya takkan dapat, kalau dapat pun tak penuh, masalahnya orang senasib macam saya ini ramai, bukan seorang.

“Ibu tinggal ramai kat Malaysia ini, kami macam tertindas, kalau boleh kerajaan pertimbangkan balik, ikut macam sistem BSH sebab ramai rakyat yang susah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di LHDN Cawangan Klang, hari ini.

Pemohon, Ahmad Ramli Abdul Aziz bercakap kepada lensa Malaysia Gazette pada hari terakhir permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2020

Sementara itu, bagi seorang warga emas, Ahmad Ramli Abdul Aziz, 56, dari Sijangkang Utama, berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonannya kerana dia hilang pekerjaan selepas tempat kerjanya di sebuah kilang gulung tikar.

“Saya ini tiada kerja, sekarang ini bela lembu saja, jadi masa tiada, hari terakhir baru boleh ke pejabat LHDN. Saya cubalah, minta-minta ada rezeki nanti,” katanya.

Pemohon, Tan Giayi bercakap kepada lensa Malaysia Gazette pada hari terakhir permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2020

Bagi seorang anak muda pula, Tan Giayi, 25, dari Klang berkata, dia hanya membantu ibunya untuk membuat rayuan BPN selepas semakan mendapati permohonan sebelum ini bertindan.

“Hari ini hari terakhir, jadi saya mesti datang tanya di kaunter.

“Oleh kerana alasan permohonan ditolak disebabkan duplikasi, saya tak boleh masuk sistem, saya mesti masuk LHDN, tanya apa alasan dan apa yang saya boleh buat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette