Home Seni Hidup Ibu bapa lega taman asuhan dibuka, pengusaha patuh SOP

Ibu bapa lega taman asuhan dibuka, pengusaha patuh SOP

Gelagat kanak-kanak melakukan aktiviti pada hari pertama pembukaan pusat jagaan kanak-kanak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di TASKA PERMATA DD, Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 01 JUN 2020.

SUNGAI BULOH — Hampir dua bulan ditutup kerana Covid-19, hari ini beberapa taman asuhan kanak-kanak (TASKA) mula dibuka.

Taska Permata DD Sungai Buloh adalah salah satu yang kembali beroperasi dan telah menerima kanak-kanak hari ini.

Menurut pengusaha taska tersebut, Norasmah Md Noor, beliau terlebih dahulu mengadakan sesi taklimat pendek berkenaan langkah-langkah berjaga-jaga sebelum ibu bapa menghantar anak mereka.

Antaranya mengambil suhu, penjarakan sosial dan penjagaan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Seorang kanak-kanak diperiksa suhu badan pada hari pertama pembukaan pusat jagaan kanak-kanak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di TASKA PERMATA DD, Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 01 JUN 2020.

Pihaknya juga menyiapkan langkah-langkah keselamatan jika berlaku kecemasan mengikut prosedur yang telah ditetapkan KKM.

Salah seorang bapa pelajar, Abdullah Afeeq menyatakan rasa lega apabila taman asuhan kanak-kanak mula dibuka.

“Saya lega dan tenang TASKA dibuka semula. Kuranglah kerisauan kami tentang anak di rumah sebab sekarang sudah boleh hantar ke taska”

“Sebelum ini, kadang-kadang kami susah hendak ke tempat kerja sebab tiada orang yang menjaga anak di rumah,” tambahnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun tinjauan mendapati guru dan penjaga taman asuhan terpaksa ‘bekerja lebih’ untuk mengendalikan kanak-kanak berkenaan kerana pantang lepa mereka akan berkumpul beramai-ramai untuk bermain.

Gelagat kanak-kanak melakukan aktiviti pada hari pertama pembukaan pusat jagaan kanak-kanak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di TASKA PERMATA DD, Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 01 JUN 2020.

Lebih-lebih lagi sudah lama mereka tidak bertemu kerana arahan ‘berkurung’ sebelum ini.

Memang agak sukar pada mulanya namun lama-kelamaan kanak-kanak itu mulai mengikut kata dan mematuhi arahan guru mereka.

Sebelum itu, pembukaan semula TASKA jelas dapat membantu meringankan beban beberapa pasangan ibu bapa yang terpaksa bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pembukaan semula taska dibenarkan berasaskan SOP yang harus dipatuhi oleh ibu-bapa dan penjaga TASKA di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun kakitangan dan penjaga TASKA diwajibkan bebas gejala dan jangkitan Covid-19 dan premis harus dinyah kuman sebelum beroperasi.- MalaysiaGazette