MILAN – Paris Saint-Germain (PSG) mula membuka langkah apabila menandatangani khidmat bintang Argentina, Mauro Icardi daripada Inter Milan secara tetap untuk tempoh empat tahun.
Icardi menyertai PSG musim ini secara pinjaman namun pantas menyerlah dengan ‘mencetak’ 20 gol daripada 31 aksi sebelum saingan Ligue 1 dihentikan akibat penularan wabak Covid-19.
Penyandang juara itu kemudiannya dinobatkan sebagai juara.
“PSG mengumumkan sudah mengikat Mauro Icardi secara tetap susulan pengambilan penyerang ini secara pinjaman daripada Inter Milan ketika kempen musim 2019-2020,” umum kelab Perancis itu dalam satu kenyataan.
Icardi yang memiliki lapan kap antarabangsa bersama Argentina selain memiliki pasport Itali mengikat kontrak selama empat tahun sehingga 30 Jun 2024.
Media Perancis dan Itali melaporkan nilai perpindahan itu dianggarkan 52 juta pound (RM279 juta).
Ini adalah perpindahan terbesar di Eropah sejak penularan pandemik Covid-19.
Kehadiran Icardi itu juga mungkin sebagai isyarat bagi penyerang Uruguay, Edinson Cavani, 33, melangkah pergi selepas kontraknya bakal berakhir pada 30 Jun ini. – MalaysiaGazette