Home Dunia India usir dua diplomat Pakistan, dakwa terlibat pengintipan

India usir dua diplomat Pakistan, dakwa terlibat pengintipan

NEW DELHI – Dua pegawai Suruhanjaya Tinggi Pakistan di New Delhi diusir kerana ‘terlibat dalam aktiviti pengintipan’, kata Kementerian Luar India lewat malam semalam, yang mana negara jirannya itu menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak berikutan krisis wilayah Kashmir yang terpisah sejak 1947 apabila mereka mendapat kemerdekaan daripada Britain.

“Kerajaan telah mengisytiharkan kedua-dua pegawai ini sebagai ‘persona non grata’ kerana terlibat dalam aktiviti dengan status sebagai ahli misi diplomatik,” menurut kenyataan kementerian itu.

Kedua-dua individu itu perlu meninggalkan negara tersebut dalam tempoh 24 jam dan ketua diplomat Pakistan telah diberikan ‘bantahan’ terhadap aktiviti yang didakwa terhadap mereka, kata kementerian itu.

Kementerian Luar Pakistan berkata, ia sekeras-kesanya menolak dakwaan India yang tidak berasas itu dan menyifatkannya sebagai pencabulan Konvension Vienna yang jelas, khususnya  pada persekitaran hubungan yang rendah.

Kashmir merupakan punca utama ketegangan hubungan antara kedua-dua negara selepas New Delhi menghapuskan status semi autonomi wilayah majoriti Muslim pada tahun lalu dan melaksanakan perintah berkurung bagi menghentikan rusuhan.

India dan Pakistan terlibat dalam tiga peperangan sejak mencapai kemerdekaan, termasuk dua peperangan membabitkan Kashmir. – Agensi