Home Nasional KKM bentang SOP berkaitan TASKA

KKM bentang SOP berkaitan TASKA

Gelagat kanak-kanak melakukan aktiviti pada hari pertama pembukaan pusat jagaan kanak-kanak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di TASKA PERMATA DD, Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 01 JUN 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan operasi Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan menitikberatkan isu keselamatan dan memberi keutamaan kepada kanak-kanak yang ibu bapanya berkhidmat sebagai petugas barisan hadapan.

Katanya, KKM juga juga akan melihat bagaimana untuk meningkatkan perkhidmatan TASKA di hospital di bawah kementeriannya.

“Setakat ini, kita sudah ada sebanyak 112 TASKA dan pihak kita sudah memohon untuk tingkatkan lagi jumlahnya di semua hospital menjadikan ia sebanyak 146.

“Bila sudah tingkatkan jumlah TASKA itu, kita harap ia dapat beroperasi secara dua syif kerana pegawai barisan hadapan juga bekerja secara syif,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, jumlah kes harian Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sejajar unjuran yang dibuat dalam permodelan oleh Institut Kesihatan Negara (NIH).

Katanya, jumlah kes harian itu tidak termasuk kes import dan bukan warga negara yang hidup di dalam komuniti dan juga kes bukan warga asing dalam tahanan di Depoh Tahanan Imigresen.

Tambah beliau, ia sememangnya menggambarkan impak positif tindakan yang sudah diambil oleh kerajaan serta pematuhan rakyat di negara ini terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan saranan yang diberikan oleh kerajaan.

“Kementerian ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia di atas kerjasama dengan pihak kerajaan bagi pencapaian ini, dalam usaha kita untuk sama-sama membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Namun begitu, masyarakat harus kekal waspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 di kalangan masyarakat setempat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu bapa lega taman asuhan dibuka, pengusaha patuh SOP