Home Nasional Pemandu mabuk punca kematian penghantar makanan didakwa

Pemandu mabuk punca kematian penghantar makanan didakwa

Anggota polis mengiring suspek keluar dari mahkamah selepas menghadapi atas pertuduhan memandu secara mabuk dan menyebabkan kematian penghantar makanan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kedai aksesori berusia 21 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah 13 di sini pagi ini atas kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan dalam kejadian 1.30 pagi tadi.

Tertuduh berbaju kemeja T berwarna merah berlogo pasukan bola sepak England dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari sekitar 9.30 pagi tadi.

Tertuduh,  Khor Yong Zhang bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta kes dibicarakan di mahkamah.

Beliau yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi setelah kertas pertuduhannya dibacakan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa sebagai pemandu kenderaan jenis Nissan Grand Livina telah memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh alkohol yang mana kandungan alkohol di dalam badan sebanyak 161 miligram (mg) atau 100 mililiter iaitu melebihi 81 mg daripada had yang ditetapkan iaitu 80 mg.

Tertudug didakwa gagal mengawal kenderaan menyebabkan kematian kepada penunggang motosikal jenis Honda Ex 5, Mohamed Zaili Mohamed berusia 44 tahun.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dan boleh didakwa di bawah seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 antara jam 1.30 pagi di Jalan Sultan Iskandar pada hari ini.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdullah Khazali menawarkan wang jaminan RM10, 000 dengan seorang penjamin dengan syarat lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Manakala tertuduh yang diwakili peguambela, Khairul Amin Abdullah merayu mahkamah mempertimbangkan jaminan dikurangkan.

“Tertuduh akan membuktikan tidak bersalah dalam kes ini pada masa akan datang semasa perbicaan nanti, sementara saya mohon jaminan seminimum memandangkan OKT masih muda dari segi faktor usia dan belum disabitkan bersalah dalam pertuduhan dan wang jaminan tinggi akan memberi impak kepada dirinya.

“Dan penjamin yang merupakan sepupu anak guam saya dan akan memastikan tertuduh hadir pada perbicaraan dengan penuh kerjsama,” katanya.

Majistret selepas mendengar hujah kedua-dua pihak membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 1 Julai ini sebagai serahan dokumen dan sebutan semula kes dan mensyaratkan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Terdahulu Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Dzulkefly Yahya berkata suspek tidak direman tetapi menerima arahan DPP untuk terus menuduh serta merta di mahkamah pagi tadi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemandu mabuk rempuh penghantar makanan, seret motosikal 2km

1 Komen

  1. Awas mereka ini mungkin penyokong2 tegar parti yang menganjurkan pesta Octoberfest!

    Disebabkan kekeciwaan, mereka kini MEMBUNUH oramg ramai. Alasan MABUK dengan bayaran denda RM 5,000 membolehkan mereka dibebaskan!

    Harap Hamid Bador lebih berhati2 serta tak lupa untuk selalu mengingatkan anak buahnya yang selalu membuat kawalan dijalan2raya!

    Hati2!!!

Comments are closed.