KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia mempersoalkan aktivis kemanusiaan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang dilihat sepi daripada menyuarakan isu pemandu mabuk hingga melibatkan kematian di jalan raya.
Exconya, Haziq Aizuddin Subhi berkata, pihaknya berasa pelik dengan layanan ‘double standard’ oleh NGO-NGO terhadap isu seperti itu.
“Bukankah isu tersebut memerlukan sokongan kemanusiaan dan perlu dilawan sehingga tegaknya keadilan. Kenapa bersikap pilih kasih?” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Haziq mendakwa, para aktivis seolah-olah melihat bahawa isu pemandu mabuk itu satu isu kecil dan ianya seperti bukan di bawah aspek nilai kemanusiaan langsung.
Setiap kali berlaku isu seperti itu, segelintir mereka mempertahankan pula hak untuk mengambil minuman alkohol dan cuba memberikan pelbagai alasan dan menyalahkan mangsa dalam kejadian dilanggar pemandu mabuk, katanya.
“Wira Putra menyambut baik usaha Kerajaan PN dalam mengotakan janji untuk meminda Akta Pengangkutan Jalanrayawalaupun baharu pada peringkat permulaan.
“Cuma Wira Putra menegaskan janganlah ia sekadar sandiwara menyedapkan hati rakyat tapi masih takut dan ragu-ragu untuk membuat keputusan yang jelas dan tegas kerana desakan musang berbulu ayam,” ujarnya.
Tambahnya, Wira Putra amat berharap agar pindaan akta dan kesalahan tersebut menetapkan satu hukuman berat seperti saranan Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali terhadap pesalah pemanduan dalam keadaan mabuk sekaligus menjadi pengajaran serta mengakhiri sikap itu pada akan datang.
“Penjara seumur hidup bagi kesalahan sebegini adalah tidak wajar kerana kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja makan minum, perubatan dan kos kawalan keselamatan serta pelbagai kos lagi kepada individu yang pentingkan diri sendiri dan tiada disiplin dalam hidup yang mengakibatkan kematian.
“Berapa banyak wang rakyat dibazirkan sekiranya hukuman ala kadar seperti itu di berikan,” katanya. – MalaysiaGazette
Mana pergi suara Ambiga, Bar Council, SUHAKAM, dan lain-lain yang mahu menuntut keadilan bagi pihak yang menjadi mangsa kepada pemandu yang mabuk. Apakah entiti-entiti di atas hanya pentingkan isu-isu politik dan individu-individu yang berprofil tinggi sahaja. BERSIH tidak pernah mewakili rakyat jelata dalam isu-isu kemiskinan, pengganguran, dan sebagainya. Di mana pergi demokrasi. Setahu saya, demokrasi adalah untuk semua orang dan bukan untuk golongan tertentunya. Pihak polis dan mahkamah harus menjatuhkan hukuman yang berat terhadap pemandu yang mabuk agar menjadi pengajaran kepada yang lain. Selagi hukuman yang berat tidak dikenakan terhadap pesalah, malapetaka ini akan berulang tanpa kesudahan. Rakyat perlu buat kempen secara besar-besar dengan slogan “Alcohol is the Mother of All Evils” memerangi arak.