Home Politik Cermin kereta ketua Pemuda PKR P. Pinang pecah akibat khianat

Cermin kereta ketua Pemuda PKR P. Pinang pecah akibat khianat

Polis menyiasat kejadian cermin depan kenderaan milik Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol, pecah dipercayai angkara khianat di rumahnya di Kampung Baru, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM- Polis menyiasat kejadian cermin depan kenderaan milik Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol, pecah dipercayai angkara khianat di rumahnya di Kampung Baru, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata kejadian itu disedari mangsa berusia 28 tahun pada 9 pagi semalam, selepas mendapati cermin depan Toyota Viosnya pecah dipercayai dibaling dengan bata kerana objek itu ada berdekatan keretanya.

“Mangsa mendakwa tidak pernah berhutang dengan sesiapa dan tidak bermusuh dengan sesiapa, namun aktif dalam sebuah parti politik, jadi dia bimbang ada pihak yang tidak berpuas hati dengannya.

“Pemeriksaan mendapati tiada barang yang hilang dalam kereta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, setakat ini tiada kamera litar tertutup di kawasan rumah lelaki itu yang juga ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan khianat.

Sementara itu, Fahmi ketika dihubungi enggan menuduh mana-mana pihak melakukan perbuatan khianat itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut.

“Saya tidak tahu siapa yang melakukannya dan apakah tujuan sebenar mereka. Sepanjang penglibatan dalam politik, ini pertama kali kejadian seperti ini berlaku.,” katanya.- BERNAMA