
SINGAPURA – Harga minyak naik hari ini susulan para pedagang menantikan keputusan pengeluar-pengeluar minyak utama sama ada mahu mengurangkan pengeluaran minyak dalam usaha meningkatkan harga.
Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dijadual bertemu secara maya pada 4 Jun ini.
Niaga hadapan Brent naik sebanyak AS$0.35 kepada AS$38.67 tong pada 0427 GMT.
Manakala West Texas Intermediate (WTI) naik sebanyak AS$0.20 kepada AS$35.64 setong.
Brent naik dua kali ganda sejak enam minggu lalu ekoran penurunan bekalan oleh OPEC dan sekutu-sekutunya.
Meskipun begitu, harga Brent dan WTI masih lagi rendah 40% pada tahun ini.
“Semuanya berkisarkan kepada pengurangkan bekalan dan pemulihan permintaan,” kata penganalisis komoditi Commonwealth Bank, Vivek Dhar.
Sekutu-sekutu OPEC yang dikenali sebagai OPEC+ sedang mempertimbang untuk terus mengurangkan bekalan sebanyak 9.7 juta tong sehari – kira-kira 10% daripada pengeluaran dunia pada Julai atau Ogos.
“Kemungkinan besar OPEC+ akan melanjutkan pengurangan bekalan sehingga 1 September,” kata penganalisis Citi, Edward Morse.
Di bawah rancangan OPEC + yang dicapai pada bulan April lalu, pemotongan bekalan adalah untuk bulan Mei dan Juni, dengan penurunan sebanyak 7.7 juta tong sehari dari bulan Julai hingga Desember.
Arab Saudi telah menerajui perbincangan untuk mendorong lanjutan pemotongan, kata sumber kepada Reuters minggu lalu. – MalaysiaGazette