Home Sukan KAFA kerja keras langsai hutang

KAFA kerja keras langsai hutang

Ahmad Muzakkir Hamid

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus bekerja keras mengumpulkan dana dalam usaha melupuskan hutang lapuk yang seakan-akan sudah menjadi barah buat badan induk itu ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh badan induk itu termasuklah mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan tertinggi kerajaan negeri.

“Alhamdulillah barisan kepimpinan KAFA yang diketuai oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah telah mengadakan kunjungan hormat keatas pucuk pimpinan bagi memohon bantuan dari segi kewangan dalam usaha meredakan sedikit tekanan dalam menyelesaikan isu hutang.

“Selain aspek kewangan, pertemuan itu juga turut membincangkan soal bantuan-bantuan lain yang boleh dihulurkan oleh kerajaan negeri kepada KAFA,” katanya.

Ahmad Muzakkir berkata, setakat ini KAFA telah berjaya mengumpul kutipan derma berjumlah RM15,000 hasil sumbangan penyokong dan orang ramai secara dalam talian.

Katanya, beliau mewakili seluruh pucuk pimpinan KAFA menzahirkan rasa terima kasih kepada ‘perwira-12’ Team Red Warriors (TRW) yang telah membantu pasukan. – MalaysiaGazette