KUALA LUMPUR- Arahan supaya guru-guru kembali bertugas masih belum dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan kerana sekolah masih bercuti, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelasnya, sekiranya ada guru-guru yang telah kembali ke sekolah kerana membantu guru besar atau pengetua, itu adalah tindakan secara sukarela.
“Kementerian Pendidikan masih belum mengeluarkan arahan supaya guru kembali ke sekolah.
“Sebelum ini, arahan hanya dikeluarkan kepada Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) sahaja,” katanya semasa sidang media hari ini.
Ismail Sabri mengulas mengenai 20 orang guru yang diarahkan oleh pengetua mereka untuk kembali bertugas baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu, terdapat kira-kira 702 pelajar institusi pengajian tinggi yang masih berada di kampus ketika ini.
Mereka katanya, akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing tidak lama lagi.
Menurut Ismail Sabri, dari 27 April lalu sehingga ke hari ini, sejumlah 57,729 pelajar IPT yang berada di kampus telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
Semalam, seramai 915 pelajar telah dihantar pulang melalui tujuh penerbangan namun tiada penghantaran pada hari ini.-MalaysiaGazette