Home Nasional DBKL beku permohonan baharu lesen minuman keras

DBKL beku permohonan baharu lesen minuman keras

Permohonan baharu lesen minuman keras telah dibekukan serta merta di ibu negara.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rentetan beberapa insiden kemalangan parah dan maut melibatkan orang tidak berdosa akibat pemandu mabuk, permohonan baharu lesen minuman keras telah dibekukan serta merta di ibu negara.

Tindakan pantas itu menyusul daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan hari ini.

Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL berkata semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara dibekukan serta-merta.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti penjualan minuman keras tanpa lesen,” kata kenyataan itu hari ini.

Tindakan itu menyusul selepas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam status ciapan Twitternya menyatakan permohonan lesen baharu penjualan minuman beralkohol wajar dibekukan sehingga satu garis panduan undang-undang penjualan diselaraskan oleh kerajaan.- MalaysiaGazette