Home Nasional Jurudandan sesi pengambaran wajib pakai pelindung muka

Jurudandan sesi pengambaran wajib pakai pelindung muka

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Jurudandan yang terlibat dalam sesi pengambaran diwajibkan memakai pelindung muka (face shield) dan sarung tangan semasa menata rias artis.

Selain itu, peralatan solek juga tidak boleh dikongsi sesama artis, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) jurudandan semasa sesi pengambaran.

“SOPnya telah ditetapkan iaitu jurudandan wajib memakai pelindung muka dan sarung tangan. Pelindung muka adalah berbeza dengan pelitup muka. Ia adalah plastik yang menutup keseluruhan muka, bukan setakat hidung dan mulut sahaja.

“Peralatan solek juga tidak boleh dikongsi. Setiap artis perlu menggunakan set yang khusus untuk mereka sahaja,” katanya semasa sidang media hari ini.

Sesi pengambaran yang dibekukan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu boleh disambung semula bermula Rabu depan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, para artis dan kru penerbitan tidak diwajibkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memulakan pengambaran.

Bagaimanapun, ujian saringan secara sukarela amat dialu-alukan, katanya.

“Kerajaan hanya mewajibkan ujian saringan apabila terdapat kes positif Covid-19 di satu-satu kawasan tersebut. Jika tiada kes Covid-19 positif, kita tidak wajibkan.

“Contohnya di penjara, sebelum ini kita tidak wajibkan tetapi apabila muncul kes positif di Penjara Sungai Buloh maka kita wajibkan kesemua banduan dan petugas penjara menjalani ujian saringan.

“Dalam hal ini, belum ada lagi kluster pengambaran,” jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, syarikat produksi juga diminta untuk melantik pegawai untuk memantau kesihatan dan keselamatan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penggambaran, nikah rentas negeri, taska dibenarkan