Home Pendapat Pelan Pemulihan Ekonomi perlu selamatkan periuk nasi rakyat

Pelan Pemulihan Ekonomi perlu selamatkan periuk nasi rakyat

Gambar Hiasan. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2020

Kerajaan dijangka akan mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang dirangka bagi tempoh Jun hingga Disember 2020. Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ianya akan memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama dalam memperkasakan ekonomi negara iaitu, memperkasakan
rakyat (Empower People), melonjakkan perniagaan (Propel Businesses), dan merangsangkan ekonomi (Stimulate the Economy).

Pelan ini dilaporkan akan mengambil kira pendekatan kerajaan bersandarkan kepada empat ciri utama iaitu, mesti tangkas dan dinamik, mengutamakan kerjasama sektor awam-swasta, mengambil kira komunikasi menyeluruh dan capaian meluas
membabitkan rakyat dan sektor perniagaan di Malaysia dan pendekatan berdasarkan data.

Ironinya memang semua lapisan anggota masyarakat tertunggu-tunggu inisiatif kerajaan pasca krisis seperti ini untuk merangsang dan memulihkan semula ekonomi rakyat dan negara yang terjejas teruk akibat serangan wabak Covid-19. Dalam lain perkataan, rakyat sedang bimbang dan gusar mengenangkan situasi ekonomi yang sangat tidak stabil dan cabaran yang perlu dihadapi dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan yang akan datang.

Justeru kita sambut baik langkah kerajaan ini dengan harapan yang besar agar ianya mampu menghadiahkan “buah tangan” yang kukuh dan lestari untuk merangsang semula ekonomi atau lebih tepat lagi untuk menyelamatkan periuk nasi rakyat
dengan pantas dalam jangka masa yang pendek. Hal ini cukup penting dan sangat signifikan kerana kita mahukan pelan terperinci yang boleh membuahkan hasil dengan pantas dan segera kerana rakyat semakin tertekan dengan situasi ekonomi
dan kehidupan semasa.

Fakta dan realiti yang tidak boleh lagi disebunyikan atau dinafikan sekarang ialah kehidupan seharian anggota masyarakat terutamanya dari kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) cukup terseksa dan terkesan angkara wabak Covid-19. Mereka ini hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Hakikatnya, ramai yang sudah hilang pekerjaan apabila majikan sama ada terpaksa mengurangkan pekerja untuk menjimatkan kos operasi atau lebih malang lagi ada majikan yang terpaksa menutup terus perniagaan mereka. Akibatnya, golongan ini terputus punca pendapatan secara total dan mula stres memikirkan bagaimana hendak meneruskan kelangsungan kehidupan diri dan keluarga.

Tidak dapat dinafikan beberapa bantuan dan insentif kerajaan seperti bantuan wang tunai melalui program Bantuan Prihatin Nasional (BPN) serta kemudahan penangguhan bayaran pinjaman atau moratorium sedikit sebanyak dapat menambah wang tunai di tangan serta meringankan beban rakyat, namun hakikatnya bantuan dan kemudahan seperti ini tidaklah bersifat kekal dan lestari. Wang tunai sudah mula habis digunakan, manakala pinjaman pula perlu mula dibayar balik tidak lama lagi.
Jadi jika tidak ada kerja dan sumber pendapatan yang kekal bagaimana kelompok ini boleh meneruskan kehidupan?

Oleh itu apapun inisiatif yang bakal diumumkan dalam pelan pemulihan ekonomi ini ianya mestilah berpaksikan kepada usaha untuk menyelamatkan periuk nasi semua lapisan anggota masyarakat yang bersifat kekal dan boleh bertahan lama. Antaranya sudah tentu kita mahu kerajaan mengumumkan pelan terperinci bagaimana rakyat yang hilang pekerjaan boleh mendapat kembali peluang pekerjaan yang bersesuaian
mengikut kelayakan, kemahiran, pengalaman serta boleh menerima gaji yang setimpal untuk menanggung keluarga masing-masing.

Jelas sekali buat masa ini keperluan mendesak rakyat ialah peluang pekerjaan. Justeru diharapkan apa jua inisiatif dan insentif yang bakal disediakan untuk melonjakkan perniagaan dan merangsangkan ekonomi mestilah matlamat akhirnya dapat mencipta sejumlah peluang pekerjaan yang rakyat mahukan. Untuk itu perlu ada penetapan sasaran yang jelas dalam pelan ini tentang berapa jumlah peluang pekerjaan yang dapat dicipta mengikut sektor serta rincian bagaimana sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh masa enam bulan. Dalam konteks ini, data sebenar bilangan rakyat yang hilang pekerjaan angkara wabak perlu dijadikan asas dan rujukan utama supaya kita dapat merangka pelan untuk mewujudkan jumlah pekerjaan yang diperlukan.

Di samping itu, menyedari hakikat peluang pekerjaan tetap akan tidak mencukupi kerana bilangan yang hilang pekerjaan semakin bertambah, kita berharap kerajaan boleh menambah lagi ruang dan peluang agar rakyat menceburi bidang keusahawanan. Memandangkan kita mahukan hasil yang cepat dan isu modal sering menjadi kekangan, diharap peluang pinjaman kepada rakyat yang mahu menjadi usahawan dipermudahkan sehabis mungkin tanpa sebarang karenah birokrasi. Misalnya, jika pinjaman peribadi oleh bank boleh diluluskan dalam tempoh beberapa hari saja, kenapa pinjaman kepada usahawan tidak boleh secepat itu? Longgarkanlah segala peraturan yang ada dan permudahkanlah urusan pinjaman kepada golongan usahawan baru ini.

Tuntasnya, kita mahukan pelan pemulihan ekonomi yang mampu menyelamatkan periuk nasi seluruh rakyat Malaysia dengan harapan tidak ada yang tertinggal dan terus merana. Dalam hal ini, kerajaan sebenarnya tidak ada banyak pilihan selain mesti membantu rakyat untuk mendapatkan sumber pendapatan yang kekal dan mencukupi bagi menampung keperluan seisi keluarga. Hakikatnya, kita menjangkakan persekitaran ekonomi dan kehidupan rakyat pasca Covid-19 bakal mencemaskan semua, justeru adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk
memastikan rakyat boleh bertahan dan mengharungi cabaran ini dengan jayanya.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed,  Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia