Home Nasional Pembelajaran dalam talian: Kerja sepasukan ibu bapa, guru

Pembelajaran dalam talian: Kerja sepasukan ibu bapa, guru

Pembelajaran dalam talian terpaksa dilaksanakan susulan usaha membendung penularan wabak Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Pembelajaran dalam talian bukan perkara baharu di Malaysia tetapi ia juga bukan kaedah utama yang digunakan selama ini.

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada pilihan lain selain meneruskan sesi pembelajaran dalam talian walaupun banyak pihak seperti ibu bapa, guru dan pelajar sendiri merasakan terdapat sedikit kerumitan untuk membiasakan diri dengan norma baharu ini.

Nina Adlan Disney

Menurut Pengarah Eksekutif LeapEd Services, Nina Adlan Disney, pembelajaran dalam talian di peringkat sekolah merupakan kerja sepasukan di antara guru dan ibu bapa bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Perkara paling penting kepada guru-guru adalah untuk berkomunikasi dan hubungan insani dengan pelajar menerusi persekitaran maya dapat dikekalkan.

“Pembelajaran dalam talian bukan sekadar melambakan kertas kerja semata-mata.

“Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu memberi sokongan terhadap guru dan memastikan para pelajar sentiasa diberi bimbingan dan motivasi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bagaimanapun menurut Nina yang berpengalaman luas dalam bidang pembelajaran dalam talian itu faham ketidakselesaan ibu bapa di dalam menggalas tugas tersebut kerana kekurangan kemahiran dalam “mengajar”.

Selain itu, ramai ibu bapa yang terpaksa mendahulukan keutamaan yang lain seperti komitmen bekerja dari rumah.

Dengan itu, beliau mencadangkan ibu bapa berbincang dengan anak-anak untuk perancangan awal seperti menyiapkan kerja rumah sementara anda menyelesaikan komitmen sendiri dan berjanji akan memeriksa kerja mereka apabila anda duduk bersama ketika waktu makan nanti.

Tambah Nina, ibu bapa juga perlu memberi pemahaman terhadap anak-anak mengenai bagaimana wabak Covid-19 menular dan cara mencegahnya.

Selain pusat pendidikan akademik, sekolah juga berfungsi sebagai tempat anak-anak belajar berkomunikasi dengan orang lain selain keluarga.- Gambar hiasan

Ibu bapa juga perlu sentiasa berkomunikasi dan berdialog dengan anak-anak bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan perintah kawalan ini.

“Salah satu fungsi sekolah adalah mengajar anak-anak cara yang betul untuk bersosial dan berinteraksi dengan rakan sebaya serta guru-guru.

“Apabila tidak bersekolah dan kurang berkomunikasi dengan rangkaian sosial mereka, anak-anak mungkin sukar untuk menzahirkan rasa stres atau tekanan dengan mudah,” katanya lagi.

LeapEd Services menyediakan perkhidmatan pembelajaran dalam talian seperti webinar, digital Komuniti Pembelajaran Profesional (PLCs) serta LeapEd Bright Ideas yang menyediakan tip mudah dan berguna kepada ibu bapa, guru dan pemimpin sekolah.

Kesemua perkhidmatan LeapEd boleh diakses melalui www.leapedservices.com. – MalaysiaGazette