Home Nasional Pertimbang alasan kesihatan, kecemasan untuk rentas sempadan

Pertimbang alasan kesihatan, kecemasan untuk rentas sempadan

Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan isu mendapatkan rawatan dan kecemasan bagi alasan munasabah untuk rentas negeri sepanjang tempoh PKPB.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI) meminta kerajaan mempertimbangkan isu mendapatkan rawatan dan kecemasan bagi alasan munasabah untuk rentas negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presiden SRIKANDI, Datuk Norasyikin Abdul Ghani berkata, ia termasuk dalam alasan munasabah yang hanya memerlukan budi bicara pegawai polis ketika permohonan dibuat.

Katanya, keadaan pemohon dan ditambah dokumen sokongan berkaitan sewajarnya sudah mencukupi untuk kebenaran diberi.

“Ia juga bertepatan dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kelonggaran dalam urusan yang penting seperti mendapatkan rawatan, makanan dan juga pencari nafkah.

“Contohnya, dalam kes seorang lelaki patah tangan dan mahu ikhtiar memulihkan tangannya dengan cara alternatif diyakininya, ia satu kewajaran munasabah untuk dipertimbangkan.

“Jika mahu kuarantin, boleh sahaja pemohon berkenaan dikuarantin di negeri destinasi jika ia dilihat satu keperluan.

“Dalam aspek kesihatan, setiap orang tidak sama cara pengendaliannya, ada yang berasakan tidak sesuai dengan rawatan alopati dan memiliki pilihan lain untuk merawat diri.

“Tindakan menghalang usaha ini hanya akan memberikan imej negatif kepada pegawai bertanggungjawab,” katanya hari ini.

Tambah Norasyikin, arahan PKPB kali ini lebih tepat dikatakan PKPP iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Berperingkat kerana jika dahulu aktiviti disekat tetapi kini banyak sekatan sudah tamat dan dilaksanakan secara bersyarat.

“Sebagai contoh, suami isteri dan keluarga terpisah, rakyat yang diberhentikan kerja dulu disekat tetapi sekarang dibenarkan pulang ke kampung.

“Begitu juga dulu pelajar universiti tempatan disekat tetapi sekarang dibenarkan pulang ke kampung, dulu rakyat dari luar negara disekat kini dibenarkan rentas negara pulang ke Malaysia.

“Orang yang ulang alik bekerja, hantar barangan rentas negeri serta berniaga pun sudah dibenarkan pada peringkat ini.

“Jika dulu ada sekatan, semua dikuarantin menggunakan pagar kawat berduri, tetapi kini sudah dibenarkan kecuali zon merah sahaja. Jadi sewajarnya tiada isu jika ada rakyat yang memerlukan rawatan alternatif memohon untuk rentas negeri,” katanya lagi.

Norasyikin berkata, mengikut data terkini yang dilaporkan media, 40 peratus rakyat kehilangan punca pendapatan mereka sepanjang PKP.

“Jika mereka sakit, hilang upaya sementara usaha untuk mencari nafkah akan tertangguh lagi, rakyat sudah tidak mampu bergantung kepada bantuan ihsan orang ramai dan kerajaan semata-mata.

“Sehubungan itu, diharap isu kesihatan dibenarkan sebagai pertimbangan pihak berkuasa,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mohon permohonan rentas negeri untuk perubatan alternatif