Home Politik Exco Wanita PKR Pusat letak jawatan serta merta

Exco Wanita PKR Pusat letak jawatan serta merta

Exco dan Naib Ketua Wanita Keadilan Selangor, Puan Shoba menerima cenderahati daripada YDP MBSA selepas menngumumkan perletakan jawatannya dalam parti dan MBSA secara mengejut dengan penuh berat hati.-Ihsan Foto: FB Puan Shoba

KUALA LUMPUR – Exco Wanita PKR Pusat merangkap Naib Ketua Wanita PKR Selangor, Shoba Selvarajoo mengumumkan peletakan jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta.

Beliau turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam bagi MPP Zon 5.

Peletakan jawatan tersebut menyusul selepas Ahli PKR Cabang Selayang, merangkap Ahli Majlis Perbandaran Selayang, JC Jess Choy Pooi Yee mengumumkan keluar PKR berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan tersebut dibuat kerana mereka kecewa dengan parti yang didakwa memeningkan ahli dan kepimpinan.

Menurut Sobha, perkembangan politik melibatkan PKR ketika ini tidak sehaluan dengan prinsip dan ideologi yang dirangka sejak pembentukan pada 1999.

“Malahan saya turut terkesan dengan penyebaran senarai nama ahli parti PKR yang digantung apabila diteliti, saya terkejut besar apabila nama saya juga tersenarai.

“Saya hilang kepercayaan kepada presiden dan pimpinan parti sejak selepas pemilihan parti yang cacamarba serta sangat memalukan demi kuasa politik.

“Maka saya Shoba Selvarajoo (no anggota: B170004745) meletakkan semua jawatan dalam parti termasuk termasuk status sebagai Ahli Majlis MBSA MPP Zon 5 serta merta.

“Selepas ini kerjaya politik dan perkhidmatan awam saya akan terus menjadi lebih baik dari sekarang,” katanya mengesahkan kepada MalaysiaGazette tindakan beliau meninggalkan parti itu ketika dihubungi tadi.

Shoba menang sebagai Exco Wanita PKR Pusat menerusi pemilihan PKR 2018 dan membarisi Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat diketuai Haniza Talha bagi penggal 2018-2021.

Dalam status Facebook rasmi beliau juga telah memuat naik teks ringkas mengenai perletakan jawatan tersebut dan mengucapkan terima masih kepada semua pihak yang telah bersama-sama dengan beliau sepanjang perkhidmatannya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.