Home Sukan Pemain bersedia dengan SOP kembali berlatih

Pemain bersedia dengan SOP kembali berlatih

Pemain Malaysia, Shahrul Saad pada sesi sidang media sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kapten Perak FA, Shahrul Mohd. Saad berharap aktiviti bola sepak termasuk latihan pasukan dapat bermula lebih awal bagi memastikan semua pemain dapat mengembalikan kecergasan tahap terbaik sebelum saingan Liga Malaysia dijangka bermula pada September ini.

Justeru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baik bagi permohonan semula kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi saingan Liga Malaysia kembali bersambung selepas ditangguhkan pada 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

“Mahu atau tidak, kita semua harus terima keputusan MKN ketika ini yang masih melarang segala aktiviti bolasepak dan semua ini adalah demi kebaikan semua pihak.

“Tetapi, saya harap MFL akan bersedia dengan SOP yang sepatutnya agar kita dapat buat persiapan secepatnya dan seandainya perlu perubahan, kita semua sudah bersedia dengan perkara itu.

“Saya juga percaya baik FAM dan MFL akan terus bekerja keras bagi memastikan kami dapat beraksi semula kerana sekarang ini situasi sudah berubah dan apa sahaja boleh berlaku.

“Saya akan teruskan latihan macam biasa secara sendiri walaupun agak terasa lain sebenarnya dan satu kali seminggu, jurulatih (Mehmet Durakovic) akan pantau perkembangan semua pemain”, jelasnya yang juga pemain kebangsaan.

Perkara itu turut dipersetujui oleh pemain tengah Terengganu FC, Nasir Basharuddin sambil menyifatkan bukan MFL sahaja yang perlu bekerja keras, malah dirinya sebagai pemain juga akan berusaha untuk membiasakan diri dengan normal baharu selepas ini walau di atas padang sekalipun.

Jelasnya, untuk bermain bola sepak dengan perlu mengikuti SOP yang sepatutnya adalah bukan mudah, tetapi itulah yang perlu akan menjadi rutin kebiasaan untuk semua pemain selepas ini bagi bersedia dengan langkah penjagaan lebih teliti.

“Kalau nak ikutkan, memang bukan senang untuk kita membiasakan diri dengan keadaan sekarang tambahan pula dengan pelbagai SOP yang ada.

“Tetapi, kalau tiada SOP, mustahil la untuk Liga Malaysia kembali bersambung dan untuk itu, saya sendiri sedang dalam proses untuk sentiasa bersedia dengan peraturan baharu selepas ini agar tidak kekok apabila sudah kembali ke padang.

“Macam-macam mana pun, kita semua kena menghadapi situasi baharu ini dengan lebih positif dan saya percaya MFL akan melakukan yang terbaik untuk kita kembali beraksi dalam Liga Malaysia”, katanya.

MFL dalam satu kenyataan baru-baru ini menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan, keputusan larangan sebarang aktiviti bola sepak adalah selaras dengan tindakan kerajaan yang memutuskan untuk melanjutkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

MFL akan sentiasa mengikuti perkembangan dan saranan daripada MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memberikan kebenaran kepada pemegang taruh Liga M untuk melaksanakan aktiviti bola sepak jika aksi domestik kembali bersambung musim ini. – MalaysiaGazette