KUALA LUMPUR – Pengecualian cukai pendapatan sehingga RM5,000 diberikan kepada pekerja yang menerima manfaat dalam bentuk telefon bimbit, komputer riba atau tablet daripada majikan untuk bekerja dari rumah.
Ini termasuk dalam salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
“Selaras dengan saranan kerajaan yang menggalakkan majikan terutamanya industri PKS untuk melaksanakan konsep bekerja dari rumah, insentif percukaian dan juga perlindungan insurans pekerjaan akan diberikan,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga memberikan geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan SOP pencegahan wabak Covid-19 yang ditetapkan.
Ini menurut Muhyiddin adalah untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa menghantar semula anak-anak mereka ke taska.
“Selain itu, e-baucer disediakan untuk perkhidmatan pengasuh kanak-kanak yang ditempah dalam talian dan juga insentif cukai pendapatan individu untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000,” katanta,
Lagkah tersebut akan dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat serta Lembaga Hasil Dalam Negeri. – MalaysiaGazette