Home Utama Penjara mandatori langkah berkesan tangani pemandu mabuk – KPN

Penjara mandatori langkah berkesan tangani pemandu mabuk – KPN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) menyerahkan replika kunci kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan) pada Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda Baharu PDRM di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 JUN 2020

PUTRAJAYA – Hukuman penjara mandatori merupakan langkah berkesan dalam usaha menangani kes pemandu mabuk, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, peruntukan hukuman penjara mandatori itu perlu dilakukan dengan segera.

“Saya akan menyokongnya. Hukuman penjara wajib akan menghalangi mereka.

“Sekiranya kita meninggalkannya, hakim yang berlainan mungkin mempunyai satu tafsiran (undang-undang) dari yang lain.

“Sekiranya kita menjadikannya perkara wajib (penjara mandatori), itu adalah pencegahan kuat bagi mereka yang menganggap mereka boleh minum (minuman keras) dan memandu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda Baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hamid menuntut agar kerajaan melaksanakan hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk.

Perkara itu diminta oleh beliau selepas insiden mengorbankan seorang anggota polis di sekatan jalan raya Op COVID-19 dekat Plaza Tol Kajang Selatan, bulan lepas.

Menurut Abdul Hamid, hukuman maksimum yang dikenakan ke atas pemandu mabuk adalah bagi memberi pengajaran supaya perkara seperti itu tidak berulang.

Ini kerana katanya, ketika ini ada segelintir individu yang tidak menghiraukan langsung keselamatan pengguna dan petugas di jalan raya. – MalaysiaGazette