Home Nasional 30 peratus kemudahan, staf hospital masih kekal rawat pesakit Covid-19

30 peratus kemudahan, staf hospital masih kekal rawat pesakit Covid-19

KKM terus mengekalkan kadar kemudahan itu sementara dalam proses mempertimbangkan untuk 'merehatkan' sebahagian kakitangan kerana mengambilkira pengurangan kes.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Walaupun kes jangkitan positif Covid-19 di negara ini terus kekal pada paras dua dan satu digit namun sebanyak 30 peratus kemudahan wad, katil dan kakitangan di hospital- rawatan seluruh negara masih dikekalkan untuk merawat pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya terus mengekalkan kadar kemudahan itu sementara dalam proses mempertimbangkan untuk ‘merehatkan’ sebahagian kakitangan kerana mengambilkira pengurangan kes.

“Kita ada juga staf yang datang dari negeri lain sekarang dan kita boleh kurangkan jumlah kekuatan anggota tetapi sekiranya perlu lagi kita akan gerakkan staf dari negeri yang lain.

“Sekarang yang kita sedang fikirkan adalah bagaimana hendak mengoptimumkan hospital dan kita tetapkan 30 peratus untuk (rawatan) kes Covid-19.

“Kita sudah mula gunakan perkhidmatan hospital-hospital di daerah yang ada kemudahan dewan pembedahan untuk meningkatkan lagi rawatan kita kepada pesakit dan keselesaan kepada warga kerja secara menyeluruh,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada perkembangan sama Noor Hsiham mengakui pengurangan kes Covid-19 sejak beberapa minggu lalu secara konsisten mengurangkan penggunaan katil pesakit Covid kepada 15 peratus ketika ini.

“Hanya tujuh hospital setakat ini yang merawat Covid-19 berlaku penurunan penggunaan katil sehingga 15 peratus dan kita akan tambah pasakit bukan Covid-19 di hospital yang merawat pesakit pandemik dan pertambahan secara berterusan akan dipertingkatkan,” ujarnya.- MalaysiaGazette