PUTRAJAYA -Maklumat yang diambil menerusi aplikasi MySejahtera tidak akan disalahguna, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Jelas beliau, maklumat peribadi pengguna aplikasi tersebut hanya digunakan untuk tujuan pengurusan pandemik Covid-19 sahaja.
“Kerajaan telah membuat komitmen bahawa data-data yang dikumpulkan di dalam aplikasi ini hanya akan digunakan untuk tujuan pengurusan pandemik Covid-19 semata-mata dan tidak dikongaikan dan digunakan untuk tujuan yang lain,” katanya.
Terdahulu beliau membuat lawatan advokasi aplikasi MySejahtera yang digunakan oleh premis-premis perniagaan di pusat beli belah Alamanda hari ini.
Hasil pemantauannya, Hasnol mendapati sebanyak 75 peratus peniaga di pusat membeli belah itu menggunakan MySejahtera.
Meskipun tidak ada ketetapan untuk mewajibkan peniaga menggunakan aplikasi MySejahtera di kalangan peniaga, namun ujarnya kerajaan menggalakkan penggunaannya demi memudahkan pengenalpastian pergerakan dan kontak rapat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tambah beliau, aplikasi tersebut akan dijadikan pangkalan data oleh KKM sekiranya berlaku kes penularan wabak Covid-19.
“Setakat ini kita tidak ada berikan tempoh tetapi kita akan datang lagi dari semasa ke semasa ini adalah program advokasi di mana kita menggalakkan peniaga-peniaga untuk menggunakannya.
“Setakat ini tidak ada lagi ketetapan untuk diwajibkan penggunaan aplikasi ini tetapi kita amat menggalakkan kerana ianya mudah dan tidak ada kos kepada pengguna dan peniaga,” katanya lagi.
Selain menjadi pangkalan data yang lebih mudah dan mesra pengguna aplikasi ini juga menurut beliau menjimatkan masa pelanggan yang datang ke sebuah premis memasukkan maklumat peribadi yang lebih tepat berbanding perlu menulis sendiri.
“MySejahtera ini diperkenalkan untuk membantu kerajaan khususnya KKM mempunyai satu pangkalan data di mana sekiranya berlaku insiden di mana pelanggan didapati positif Covid-19 maka dengan segera KKM boleh melihat dari aplikasi MySejahtera, siapakah lagi pelanggan-pelanggan yang ada di premis tersebut pada tarikh itu dan masa yang sama.
“Jadi dengan cara itu KKM dengan segera boleh menghubungi pelanggan-pelanggan lain yang ada dalam suatu premis itu supaya mereka juga boleh buat saringan.
“Jadi ini lebih cepat dan pantas kerana dari situ juga KKM boleh mengenal pasti ke mana lagi pelanggan-pelanggan itu pergi selain daripada premis yang dikenal pasti.
“Ada juga kalanya nak cepat maklumat tidak ditulis dengan betul, sukar untuk dibaca kerana berbagai bentuk tulisan ada yang saya sekamk nombor telefon ditulis tidak jelas,” tambahnya.
Aplikasi MySejahtera dibangunkan pada April yang lalu melalui kerjasama strategik KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Aplikasi itu turut menyediakan maklumat dan perkembangan terkini Covid-19, maklumat fasiliti kesihatan terdekat, panduan kesihatan dan pelbagai informasi berkaitan kesihatan.-MalaysiaGazette