Home Utama Najib yakin BN pertahan DUN Chini

Najib yakin BN pertahan DUN Chini

Pemandangan udara sekitar kawasan Chini di Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 07 JUN 2020.

CHINI – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yakin gagasan Muafakat Nasional (MN) akan membantu Barisan Nasional mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kerjasama rapat UMNO dengan Pas memungkinkan kerusi itu dipertahankan semula memandang kepada majoriti undi yang memihak kepada kedua-dua parti pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), dua tahun lalu.

“Ini kubu kuat kita, tambah lagi bila kita bertanding atas tiket Muafakat Nasional bersama dengan Pas, kita yakin dapat menambah bilangan majoriti kita,” katanya eksklusif kepada MalaysiaGazette.

Ditanya mengenai calon yang akan diketengahkan pada 20 Jun ini, Najib berkata ia masih di peringkat perbincangan.

Katanya, nama yang akan dicalonkan ini harus menepati citarasa pengundi DUN Chini serta boleh berkhidmat dengan cemerlang seperti Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Najib Razak

“Calon kita sedang tentukan supaya calon itu dapat berkhidmat dengan sebaik mungkin kepada komuniti Felda, kampung Tradisional dan juga kepada masyarakat orang asli,” katanya lagi.

Desas desus kuat menyatakan bahawa Muafakat Nasional akan mengetengahkan anak Najib, Datuk Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Chini sebagai calon.

Selain Nizar, seorang lagi peneroka Felda turut disebut-sebut dalam senarai calon.

Muafakat Nasional dilihat mampu menang tanpa bertanding apabila PKR mengumumkan tidak akan meletakan calon pada Pilihan Raya Kecil DUN Chini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

PKR yang mengambil pendirian itu berikutan kerisauan terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak Covid-19.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Abu Bakar pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham selaku wakil BN mempertahankan kerusi itu dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Pas memperolehi 5,405 undi dan calon dari PKR hilang wang pertaruhan apabila hanya mendapat 1,065 undi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Saya cadangkan MN letak calon penduduk tempatan…anak Najib mungkin bagus tapi dia tidak tinggal di Felda. Satu lagi untuk elakkan PH eksploit prosiding kes DS Najib utk menghasut penduduk Chini.

Comments are closed.