Home Sukan Negara sedia kembalikan dunia sukan- KBS

Negara sedia kembalikan dunia sukan- KBS

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

KUALA LUMPUR – Negara sudah bersedia untuk mengembalikan dunia sukan dengan pelbagai inisiatif dan cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dilaksanakan berdasarkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan memperincikan keputusan kerajaan berhubung SOP sektor sukan dan rekreasi dibuka semula pukul 4 petang di kementeriannya esok.

“Pelbagai inisiatif dan cadangan SOP sektor sukan dan dari negara luar juga telah diteliti dan telah mengambilkira pandangan pihak MKN dan KKM yang bakal dilaksanakan secara beransur dan dengantanggungjawab bersama semua pihak.

“Kami akan memberikan lebih perincian kepada keputusan kerajaan dan SOP-SOP pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa 2 termasuklah tarikh ianya akan berkuatkuasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Menerusi ini, dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP.

Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain.

Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan.

Pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki juga masih tidak dibenarkan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Aktiviti sukan, rekreasi dibenarkan di bawah PKPP