Home Utama Rentas negeri dibenarkan mulai 10 Jun

Rentas negeri dibenarkan mulai 10 Jun

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR- Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos  ini yang juga merupakan sebahagian daripada strategi keluar daripada usaha membendung penularan Covid-19.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, antara yang dibenarkan adalah pergerakan rentas negeri, sambutan Hari Raya Aidil Adha dan ibadah korban serta pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih meluas.

“Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian.

“Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung.

“Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas pada hari ini.

Kerajaan menurut Muhyiddin akan melaksanakan PKPP dengan berteraskan 7 Strategi iaitu:

i) Pengukuhan Kesihatan Awam;

ii) Perundangan dan Penguatkuasaan;

iii) Pengukuhan Kawalan Sempadan;

iv) Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi;

v) Pembudayaan Kebiasaan Baharu;

vi) Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti; dan

vii) Perlindungan Golongan Berisiko.

Tambah beliau, strategi tersebut akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan.

Manakala di peringkat kerajaan negeri pula, strategi ini akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Pelaksanaan strategi ini pastinya memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk jentera kerajaan pusat dan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin dan ketua komuniti,” tegasnya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

2 Komen

  1. Semoga PM kekal mentadbir negara dan mensejahterakan raktat. Tapi berhayj gati dengan Si Kitol dan laumnya yang sentiasa berniat jahat. Patahkan sayap mereka. Terys ikram bersama muafakat Nasional.

Comments are closed.