PUTRAJAYA – Warga asing tidak akan dibenarkan ke masjid sekiranya jumlah jemaah ditambah dalam masa terdekat ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran pertambahan jumlah yang tertakluk di bawah kuasa Yang Di-Pertuan Agong itu akan mengambil kira bilangan kes Covid-19 yang tinggi di kalangan golongan tersebut.
Pada masa sama jelas beliau, kerajaan ingin memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk mengimarahkan rumah Allah itu.
“Kebenaran tambah jumlah jemaah tertakluk keputusan Yang Di-pertuan Agong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta negeri-negeri yang beraja di bawah kuasa sultan masing-masing.
“Namun pertambahan jemaah jika dibebarkan tidak akan termasuk warga asing untuk bersolat Jumaat dan jemaah dan hanya untuk warga Malaysia sahaja.
“Ini memandang kes positif Covid-19 yang tinggi di kalangan warga asing dan keutamaan perlu untuk warga Malaysia. Tak kan warga asing yang penuh di masjid sampai rakyat tempatan tiada tempat,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataannya semalam yang kerajaan masih meneliti cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mendapatkan kelonggaran bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid.
Ismail Sabri berkata, menteri terlibat, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah membentangkan cadangan itu semalam.
Menerusi cadangan itu, kata beliau, menteri tersebut meminta agar kapasiti yang dibenarkan untuk solat berjemaah dan solat Jumaat ditambah berbanding sebelum ini hanya 30 orang.
Mengulas lanjut, Ismail menjelaskan, pembukaan semula pasar pagi, pasar malam dan car boot sales yang bermula pada 15 Jun ini melibatkan lokasi di seluruh negara.
Jelas Ismail Sabri, pembukaan itu melibatkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing mengikut keluasan kawasan.
“Cuma SOP mungkin berbeza mengikut PBT di seluruh negara di mana SOP bandar kecil mungkin berbeza di Kuala Lumpur di mana (SPO) boleh diubah suai ikut PBT,” katanya. – MalaysiaGazette