SANDAKAN – Bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan oleh orang awam di hadapan pintu pagar sebuah rumah anak yatim di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata bayi itu ditemukan oleh seorang wanita yang sedang menyidai kain di halaman rumahnya tidak jauh dari Pusat Jagaan Anak Yatim Rumah Al Yakin kira-kira 5.40 pagi tadi.
“Wanita itu terdengar bunyi tangisan lalu mencari arah bunyi tersebut dan akhirnya mendapati seorang bayi perempuan dibaluti kain dan diletakkan dalam kotak ditinggalkan di hadapan rumah anak yatim itu.
“Ekoran itu, dia menghubungi pihak polis dan bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd Azhar, bayi itu seberat 2.65 kg dan tidak mengalami kecederaan, kini dirawat di unit rawatan rapi neonatal HDOK.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi pegawai penyiasat kes itu di talian 016-8761342.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi dan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
— BERNAMA