Home Nasional KKM cadang laksana dua syif di hospital dan klinik sesak

KKM cadang laksana dua syif di hospital dan klinik sesak

Foto hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan bercadang melaksanakan perkhidmatan kesihatan dua syif pagi dan petang di klinik dan hospital terpilih bagi mengelak masalah kesesakan dan kebanjiran pelawat pada jumlah besar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengeyoran syif pagi dan petang untuk perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik besar adalah kaedah terbaharu yang sedang dipertimbangkan untuk tindakan lanjut.

“Kita akan cuba cadangkan syif pagi dan petang di klinik-klinik sebagai langkah penjarakan sosial menggunakan kaedah temu janji yang hanya memerlukan pesakit hadir pada masa yang ditetapkan di sesebuah klinik serta hospital yang besar dan sesak dengan pengunjung.

“Langkah ini boleh mengelakkan kesesakan pelawat yang berurusan dengan pegawai perubatan di ruang menunggu selama berjam-jam, dan inilah sedang dikaji untuk dilaksanakan,” katanya dalam sidang media perkembangan semasa jangkitan Covid-19 di sini.

Menurut Dr Noor Hisham, kaedah itu jika boleh diterima dan dipersetujui kerajaan, ia akan dilaksanakan di klinik-klinik serta hospital yang besar dan juga sesak contohnya klinik kesihatan kategori 2 dan 3.

Pada masa yang sama, beloau turut berhasrat mahu memperluaskan konsep klinik maya atau virtual dalam kalangan pesakit memudahkan mereka mendapatkan ubat-ubatan tanpa hadir ke hospital sekiranya sesuatu keadaan tidak mengizinkan.

“Kita nak perkembangkan virtual klinik dalam kalangan pesakit kita, gunakan konsep itu dan mendapatkan ubat tanpa datang ke hospital yang mana ubat mereka akan dipos ke rumah mereka.

“Kita juga melihat sama ada perkhidmatan kesihatan di rumah iaitu kepada rumah pesakit dan juga rumah komuniti contohnya di rumah panjang yang tidak memerlukan pesakit datang ke hospital untuk rawatan.

“Kita sudah melaksanakan khidmat ini kepada ibu dan bayi selepas kelahiran dan kalau ia diketengahkan untuk sektor lain seperti pesakit strok yang tidak dapat ke hospital akibat kekangan pengangkutan, ini antara cadangan diperhalusi untuk diperluaskan,” tegasnya. – MalaysiaGazette