KUALA LUMPUR – Asas utama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Rabu ini adalah menjaga penjarakan sosial, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri.
Ini kerana, tiada lagi kawalan pergerakan akan dikuatkuasakan dalam tempoh tersebut malah aktiviti ekonomi juga telah dibenarkan beroperasi semula seperti biasa.
“Selepas ini penumpuannya adalah memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza kerana tiada lagi sekatan jalan raya kecuali untuk kes-kes jenayah dan sebagainya.
“Tumpuan kini untuk memastikan SOP di tempat-tempat awam, pasar awam, pasar malam dan sebagainya dipatuhi, jika ingkar boleh dihadapkan ke mahkamah, ” katanya semasa sidang media hari ini.
Dengan itu, amalan seperti berdiri dengan had jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter, menghadkan kemasukan pelanggan dalam satu-satu premis serta kumpulan akan tetap diteruskan.
Ketika ditanya mengenai permintaan pengusaha bas yang mahukan kapasiti penuh penumpang dibenarkan bagi mengurangkan kerugian, Ismail Sabri menjawab, perkara tersebut adalah melanggar SOP kerana tiada penjarakan sosial.
“Syarat SOP yang perlu dipatuhi adalah penjarakan sosial.
“Untuk bas, tidak pernah direkodkan siapa yang naik dan sebagainya, jika ada jangkitan susah untuk kita untuk menjejaki penumpang-penumpang yang lain. Jadi buat masa ini, kita masih belum boleh benarkan,” tegasnya.
Tambah Ismail Sabri, beliau sangat berharap penjarakan sosial menjadi norma baharu bagi masyarakat Malaysia.
“Jika sebelum ini kita tengok orang berebut-rebut untuk memasuki sesuatu tempat sekarang kita tengok semua orang beratur.
“Sekarang ini, hendak naik bas atau keretapi pun beratur dengan baik, tidak lagi berebut-rebut, saya harap perkara ini dapat diteruskan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette