KUALA LUMPUR – Sebanyak 222 kes tuntutan gaji melibatkan wang kira-kira RM500,000 membabitkan operator kren menara dan jurutanda (signal man) dilaporkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Presiden Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (PERKREMA), Raziz Abd Rahman mendedahkan perkara itu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 30 kes pemberhentian kerja dilaporkan di Semenanjung khususnya Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Antara aduan kepada PERKREMA Malaysia, majikan ingkar perintah bayar gaji, potong gaji, buang kerja tanpa prosedur, memaksa pekerja tanda tangan surat cuti tanpa gaji.
“Dalam kes terbaru, ada seorang pengurus projek dibuang oleh majikan kerana bersuara untuk hak dan kebajikan pekerja di bawahnya.
“Bagaimanapun, kes paling teruk adalah sub kontraktor yang membekal tenaga kerja mahir kren menara, banyak yang tidak membayar gaji pokok kepada operator.
“Alasannya kontraktor utama tidak bayar gaji mereka (sub kontraktor) bagaimanapun itu kontrak perniagaan manakala antara sub kontraktor (majikan) dengan operator (pekerja) itu kontrak pekerjaan, yang mewajibkan mereka bayar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan semua aduan pekerja berkenaan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan di Johor Bharu semalam.
Tambah Raziz, majoriti sub kontraktor mengelakkan diri daripada membayar gaji pokok sepanjang PKP.
“Sub kontraktor ini umpama parasit dalam bidang kren menara. Sepatutnya kontraktor utama lebih bertanggungjawab dengan mengambil upah operator bekerja secara runding terus.
“Bagaimanapun kerana nak lepas tangan isu kebajikan seperti caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), main con akan lantik sub con menguruskan operator kren.
“Kebanyakan sub kontraktor tidak mencarum PERKESO dan tindakan seperti ini menafikan hak pekerja untuk mendapat subsidi upah dari PERKESO dan ada operator yang dipaksa bayar tanggung sendiri kos ujian Covid-19.
“Paling teruk ada juga yang tidak buat ujian Covid-19 mengikut SOP KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya.- MalaysiaGazette