Home Ekonomi Malaysia Airlines tambah laluan domestik, penerbangan luar mulai Julai

Malaysia Airlines tambah laluan domestik, penerbangan luar mulai Julai

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) telah meningkatkan kekerapan penerbangan domestiknya mulai bulan ini dan akan memulakan semula beberapa penerbangan antarabangsa pada bulan depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Malaysia Airlines berkata, ia akan menyesuaikan kapasiti rangkaiannya dari semasa ke semasa untuk memastikan permintaan penumpang dipenuhi sebelum menormalkan jadual pada bulan Oktober untuk destinasi domestik dan antarabangsa.

Untuk bulan Jun dan Julai, penerbangan antara Kuala Lumpur dan Alor Setar, Johor Baru, Kota Baru, Langkawi, Terengganu, Labuan, Miri, Sandakan dan juga Tawau akan dilakukan dua kali seminggu.

Manakala penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Bintulu dan Sibu dijadualkan seminggu sekali.

Penerbangan antara KL dan Pulau Pinang serta Kuching pada bulan Jun dijadualkan tiga kali seminggu, sementara penerbangan antara KL dan Kuching lima kali seminggu mulai bulan Julai.

Penerbangan antarabangsa pula akan bermula hanya pada bulan Julai antaranya, penerbangan KL dan Dhaka, Kathmandu, London, Osaka, Narita, Incheon, Hong Kong, Perth, Denpasar, Phuket dan Kemboja akan dilakukan dua kali seminggu.

Namun, hubungan dua kali seminggu dengan Melbourne hanya akan dilakukan dari 1 Julai hingga 18 Julai dan untuk Sydney, hanya selama lima hari dari 1 Julai hingga 5 Julai.

Berikutan itu, penerbangan dari KL ke Melbourne dan Sydney akan dilakukan sekali seminggu.

Penerbangan antara KL dan Chennai, Hyderabad, Mumbai, Bangalore, Cochin, Sri Lanka, Taipei, Guangzhou, Adelaide, Brisbane dan juga Surabaya akan dilakukan seminggu sekali.

Sementara, penerbangan KL-Manila dijadualkan tiga kali seminggu dan Kuala Lumpur-Jakarta/ Bangkok empat kali seminggu dan Kuala Lumpur-Singapura lima kali seminggu.

“Kami gembira untuk mengumumkan penyambungan semula perkhidmatan dan meningkatkan kapasiti laluan domestik dan antarabangsa,” kata ketua pegawai eksekutif (CEO) kapten Izham Ismail.

Menurutnya, syarikat penerbangan itu akan terus memastikan keselamatan, kesihatan dan keselesaan penumpang diutamakan dengan memperkenalkan inisiatif baharu seiring dengan protokol keselamatan dan kesihatan antarabangsa. – MalaysiaGazette