Home Sukan Skuad kebangsaan kelayakan Piala Dunia 2022 akan dipanggil balik ke kem

Skuad kebangsaan kelayakan Piala Dunia 2022 akan dipanggil balik ke kem

Stuart Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah bersiap sedia menggerakkan perancangan dengan memanggil semula kem latihan skuad kebangsaan Harimau Malaya untuk persiapan menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala ASEAN 2023.

Ia susulan lampu hijau yang diberikan oleh kerajaan untuk memulakan latihan bola sepak mulai 15 Jun ini.

FAM menyambut baik pengumuman kerajaan menerusi perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberi kebenaran untuk latihan persediaan pasukan termasuk bola sepak dijalankan semula dengan syarat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

FAM berkata, ia merupakan satu berita gembira kepada seluruh warga bola sepak di tanahair selepas hampir tiga bulan terpaksa menghentikan segala aktiviti bola sepak di semua peringkat sejak saingan Liga Malaysia 2020 ditangguhkan berkuatkuasa 16 Mac 2020,  diikuti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bermula 18 Mac 2020.

“FAM sudah pun mempunyai SOP bagi latihan pasukan-pasukan kebangsaan dan akan mengadakan perbincangan dalaman untuk penentuan langkah seterusnya.

“Ia bertujuan untuk menggerakkan perancangan memanggil pemain-pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe bagi persiapan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadual pada Oktober dan November 2020 serta kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

“Ia akan disusuli dengan SOP bagi kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin yang akan dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat ini berpandukan SOP Sektor Sukan & Rekreaksi Fasa 2 yang dikeluarkan KBS, hari ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berhubung aktiviti latihan bagi pasukan-pasukan yang beraksi dalam CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan  Malaysian Football League (MFL) akan mengeluarkan SOP kembali ke latihan dan juga akan menghubungi pasukan-pasukan berkenaan dalam masa terdekat ini bagi memberi penerangan tentang  SOP yang telah disediakan.

Menurut Stuart, bagi akademi-akademi bola sepak khususnya yang terlibat dengan program pembangunan di peringkat akar umbi, SOP kembali ke latihan sudah disediakan oleh FAM.

SOP itu akan dikongsikan kepada pihak yang berkenaan dalam tempoh terdekat ini selepas kandungannya diselaraskan dengan garis panduan baharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kelancaran operasinya apabila kebenaran diberikan kerajaan bermula 15 Jun 2020.

Justeru katanya, bagi aktiviti bola sepak secara sosial dan riadah, FAM akan mengeluarkan satu garis panduan cadangan untuk diikuti oleh semua yang terlibat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua.

“Untuk itu, FAM berharap semua yang terlibat dalam bola sepak ini dapat sama-sama mengekalkan disiplin diri masing-masing untuk mengikut segala SOP serta ketetapan yang telah dibuat agar kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan bola sepak di negara ini.

“FAM juga akan sentiasa dari semasa ke semasa memberikan informasi terkini untuk makluman seluruh warga bola sepak supaya kita dapat sama-sama kekal sihat dan beraktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu bermula dari 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020,” tegasnya.- MalaysiaGazette