Home Seni Hidup Ujian HIV bakal pengantin tertunda sejak PKP

Ujian HIV bakal pengantin tertunda sejak PKP

Mohd Aqhari Jamalihi Zanudin bersama tunangnya, Nurul Natasya Mohd Anuar.

KUALA LUMPUR – Sepasang bakal pengantin berhadapan kesukaran untuk menjalani ujian saringan HIV sebagai syarat untuk berkahwin berikutan keperluan pengesahan jabatan agama yang dikenakan pihak kesihatan di Lembah Klang.

Mohd Aqhari Jamalihi Zanudin, 32, berkata, pengesahan itu diperlukan kerana pihak kesihatan di Cheras yang mahu borang permohonan yang lengkap sebelum ujian dijalankan.

“Berbeza dengan prosedur kesihatan di Negeri Sembilan di negeri tunang saya yang tidak perlu pengesahan jabatan agama terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Perbezaan itu, katanya, menyebabkan tunangnya, Nurul Natasya Mohd Anuar, 23, terpaksa menangguhkan saringan berkenaan kerana belum mendapat cuti dari majikan ketika ini.

“Kami merancang untuk berkahwin pada 17 Julai ini, kurang sebulan lagi dan proses ini amat merumitkan,” keluhnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad aduan awam banyak bakal pengantin tertunda untuk menjalani ujian HIV sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak diterima pihaknya sejak kebelakangan ini.

“Ini kerana pihak kesihatan tidak mahu premis seperti klinik terlalu sesak dengan orang ramai.

“Bagaimanapun kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini akan ada perubahan,” katanya mengulas perkara yang sama.

Sementara itu, menurutnya, bagi kawalan musim pandemik Covid-19, pihaknya dimaklumkan rata-rata  klinik mahu borang  permohonan nikah yang siap diisi lengkap oleh pemohon sebelum membenarkan ujian HIV dilakukan.

“Pihak kesihatan mahu kawal supaya yang betul dekat dengan tarikh perkahwinan diutamakan, yang lama lagi dikemudiankan.

“Caranya isi borang online dan cetak borang bawa kepada pihak kesihatan, tidak perlu pengesahan dari JAIS pada borang itu,” terangnya.

Apa pun, menurut Mohd Shahzihan, pihaknya tiada data kes perkahwinan tertunda kerana isu berkait tetapi JAIS sudah mengeluarkan kebenaran berkahwin sebanyak 1,600 individu baru-baru ini.- MalaysiaGazette