Home Dunia Floyd: Tunjuk perasaan rekod kes kematian tertinggi di Chicago

Floyd: Tunjuk perasaan rekod kes kematian tertinggi di Chicago

Tunjuk perasaan oleh kalangan penduduk kulit hitam secara besar-besaran di Chicago susulan kematian George Floyd. foto Agensi

ILLINOIS – Chicago menyaksikan jumlah kematian tertinggi sekurang-kurangnya dalam tempoh 30 tahun dengan 18 kematian dalam tempoh 24 jam pada 31 Mei lalu.

Keganasan itu berlaku selepas berlaku tunjuk perasan susulan kematian George Floyd di Minneapolis yang turut menyebabkan rusuhan di Windy City.

Pada hujung minggu terakhir pada bulan Mei – semasa cuti tiga hari – 85 orang ditembak dan 24 terbunuh, menurut University of Chicago Crime Lab.

Sebilangan besar mangsa berkulit hitam.

Mangsa-mangsa yang mati dan cedera termasuk pelajar, ibu bapa dan pekerja pertengahan umur, menurut data yang diberikan kepada Chicago Sun-Times.

“Kami sama sekali tidak pernah melihat sesuatu seperti itu,” kata Pengarah Penyelidikan Kanan, Max Kapustin kepada akhbar itu.

Kapustin menambah bahawa protes susulan kematian Floyd pada 25 Mei dalam tahanan polis mungkin telah menganggu sumber tenaga Jabatan Polis Chicago (CPD) daripada tugas rondaan biasa.

“CPD perlu mengalihkan perhatiannya ke tempat lain seperti yang anda lihat pada hujung minggu, yang mana anda melihat sejumlah pembunuhan yang tidak masuk akal, orang-orang cedera dan terbunuh,” katanya .

Hari pembunuhan kedua tertinggi di bandar ini adalah pada 4 Ogos 1991, yang menyaksikan 13 orang terbunuh.

Para penyelidik memberitahu BBC News, 31 Mei boleh menjadi hari pembunuhan tertinggi dalam 60 tahun, tetapi data dari sebelum tahun 1991 kurang tepat berbanding data digital yang muncul selepas itu.

Datuk Bandar Chicago, Lori Lightfoot mengatakan bahawa pada 31 Mei, pusat panggilan kecemasan 911 di bandar ini menerima 65,000 panggilan – 50,000 lebih banyak berbanding hari biasa.

Kadar pembunuhan di Chicago, walaupun antara tertinggi di bandar-bandar Amerika Syarikat tetapi telah merosot sejak kebelakangan ini.

Pada tahun 1990, bukan sesuatu yang biasa untuk bandar ini melihat lebih 900 kematian dalam tempoh setahun.

Pada tahun 2018, Chicago merekodkan 561 kematian, lebih tinggi daripada gabungan New York dan Los Angeles.

Chicago mencatatkan 492 kes pembunuhan pada tahun 2019. – MalaysiaGazette