KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membatalkan harga maksimum petrol dan diesel.
Mengikut Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) terbaharu tidak lagi menyebut tentang harga siling atau harga runcit maksimum untuk dua bahan api tersebut
Sebaliknya, warta bertarikh 3 Jun yang tersebar di media-media sosial itu, sekadar memaklumkan bahawa pembatalan harga siling itu adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 4, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], Pengawal, dengan kelulusan menteri.
Langkah tersebut diluluskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexender Nanta Linggi pada 10 April lalu.
Setakat in, masih tiada pengumuman rasmi yang dibuat oleh kerajaan khususnya KPDNHEP.
Kerajaan Pakatan Harapan memperkenalkan harga maksimum petrol RON95 sebanyak RM2.08 seliter manakala diesel ditetapkan pada RM2.18 seliter berikutan lonjakan harga minyak dunia ketika itu.
Harga RON97 diapungkan mengikut pasaran dan tidak mempunyai sebarang paras siling.
Bagaimanapun, harga minyak dunia ketika ini sedang berada pada paras rendah sekitar AS$40 setong sahaja.
Harga runcit RON 95 dan diesel untuk tempoh 6 Jun sehingga 12 Jun masing-masing sebanyak RM1.48 dan RM1.63 seliter.- MalaysiaGazette