KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan di bawah kesalahan jenayah terancang (JT) bagi kes-kes penyeludupan migran dalam usaha membanteras aktiviti itu di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka yang ditahan bagi kes tersebut akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mengarahkan PDRM dan agensi penguatkuasa lain memperketatkan kawalan sempadan negara bagi mengelak pendatang asing tanpa izin (PATI) membolosi ‘lorong tikus’ melalui aktiviti penyeludupan migran yang berkemungkinan membawa masuk wabak Covid-19.
“Persoalan mengapa PDRM membuka siasatan di bawah JT dan SOSMA ialah kerana PDRM mendapati hukuman yang dikenakan sebelum ini ke atas beberapa kes tangkapan seperti di Perak, Johor dan Kedah tidak memberi kesan yang serius dan suspek dapat meneruskan semula kegiatan mereka selepas tamat hukuman,” katanya pada sidang di sini hari ini.
Huzir berkata, perkara tersebut dapat dilihat menerusi beberapa kes seperti kejadian di Hutan Melintang, Perak pada 3 September 2015 apabila berlakunya tragedi bot karam hingga mengorbankan 63 mangsa warga Indonesia.
Katanya, susulan kejadian itu, polis telah mengambil tindakan terhadap sindiket terlibat yang menguruskan kegiatan penyeludupan keluar migran dikenali sebagai ‘Pak Yus’.
Tambahnya, seramai 17 warga tempatan yang disyaki terlibat ditangkap dan daripada jumlah itu dua suspek dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Atipsom manakala sembilan lagi diambil tindakan sekatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah atau POCA.
Katanya lagi, setelah selesai menjalani hukuman, risikan PDRM mendapati anggota sindiket masih meneruskan kegiatan mereka di bawah sindiket baru yang dikenali sebagai sindiket Halim.
Bagi kes di Johor pula Huzir menjelaskan, kejadian bot karam bermula pada 2016 hingga tahun ini, jumlah mengenai insiden itu adalah sebanyak tujuh laporan.
Ujarnya, seramai 73 nyawa warga Indonesia melayang dan siasatan mendapati mangsa-mangsa yang terkorban merupakan ahli sindiket dan juga migran yang ingin pulang ke negara asal dengan menggunakan laluan yang tidak diwartakan.
Manakala, bagi insiden di Langkawi, Kedah pada 8 Jun lalu pula, polis percaya tindakan sindiket menghanyutkan dan membiarkan bot dinaiki oleh lebih kurang 269 warga Rohingya ke perairan Malaysia adalah kerana terputusnya hubungan antara tekong darat yang sepatutnya menguruskan penerimaa masuk migran berkenaan.
Ini kerana katanya, sejumlah 70 orang dipercayai anggota sindiket etnik Rohingya terdiri daripada 56 lelaki dan 14 wanita yang berperanan sebagai ejen bagi mengatur kemasukan migran itu ke Malaysia telah ditangkap sepanjang operasi itu dijalankan.
Sementara itu, Huzir memberitahu, PDRM telah membuat tangkapan terhadap ahli sindiket penyeludupan migran ini sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Op Covid-19 Benteng.
Katanya, ia dilakukan menerusi pasukan task force yang diwujudkan bagi mengkaji cara lebih efektif utnuk menangani ancaman penyebaran wabak Covid-19 dengan menghalang kemasukan pendatang asing melalui jalan yang tidak diwartakan
Tambahnya, berdasarkan maklumat diterima pihaknya, dijangka lebih ramai warga asing akan masuk secara haram ke negara ini selepas perayaan Aidilfitri. – MalaysiaGazette