Home Nasional Lapan warga China ditahan disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian

Lapan warga China ditahan disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Polis menahan lapan warga China yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian menerusi satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Indah di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata suspek berusia 30 hingga 40-an terbabit, merangkumi lima wanita dan tiga lelaki, diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.

“Menerusi operasi pada 7.30 malam itu, polis merampas pelbagai peralatan seperti komputer, komputer riba dan telefon bimbit.

“Polis juga menemui rekod transaksi pemindahan wang pelbagai bank ke negara China namun nilai sebenar transaksi itu masih dalam analisis kerana membabitkan akaun luar negara,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dzulkhairi berkata kesemua suspek kini direman selama 14 hari sehingga 22 Jun untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

— BERNAMA